Thursday, March 4, 2010

Pemuda PAS Perak desak Mohsin Fadzli letak jawatan


Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat kecewa dengan tindakkan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebentar tadi dan menjadi wakil rakyat Bebas serta merta.

DPPN Pk mendesak supaya Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin agar meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bagan Serai kerana telah mengkhianati mandat rakyat memilih Pakatan Rakyat sebagai wakil mereka.

DPPN Pk juga meminta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tindakan yang telah dilakukan oleh Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin sekiranya terdapat sebarang unsur rasuah yang mendorong tindakannya itu.


SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Wednesday, March 3, 2010

APA NAK JADI PELAJAR KITA !


Cerita tentang pelajar sekolah melakukan perbuatan tidak bermoral terutama bercunbu-cumbuan dengan temam lelaki bukan satu cerita yang anih. Malah sudah ramai pelajar perempuan di sekolah menengah mahupun di IPT yang sudah mengadakan hubungan seks dan akhirnya mengandung anak luar mnikah.

Apa hendak jadi dengan pelajar kita sekarang ini, nafsu mengatasi segala galanya. Mereka tidak takut pada dosa. Mereka tidak dengar nasihat ibubapa lagi. Bagi mereka teman lelakinya adalah segala galanya. Oleh kerana sejambak budi tergadai `body'. Sudah terlanjur baru hendak ternadah, nasi sudah jadi bubur, perut sudah mula membuncit, apa hendak dikata, salah sendiri.

Baru baru ini cerita seorang pelajar perempuan berumur 15 tahun di Hulu Terangganu yang melakukan hubungan seks lebih 20 kali sejak November tahun lalu dengan teman lelakinya, bekas penagih dadah mengundang padah apabila dia kini disahkan mengandung 12 minggu.

Perbuatan itu terbongkar selepas mangsa yang berasal dari Kampung Pasir Sipol, tampil membuat laporan polis mengatakan dia dirogol pada 27 Februari lalu oleh buah hatinya berumur 27 tahun, yang juga adalah Orang Kena Perhatian oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah berdasarkan laporan, mangsa keluar rumah Sabtu lalu, kira-kira jam 11 malam untuk berjumpa teman lelakinya di Kampung Kepah dan pertemuan itu menyebabkan dia dirogol sebanyak dua kali.

“Kejadian itu diketahui ibu mangsa kira-kira jam 11.30 pagi keesokan harinya (Ahad) yang kemudian memaksanya membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan. Namun, hasil siasatan awal mendapati mangsa sebenarnya telah melakukan hubungan seks secara sukarela lebih 20 kali,” katanya.

Ini semua berkisar kepada soal cinta, jatuh cinta, betullah kata orang tua tua bila jatuh cinta tak kenal botol kicap dan botol cuka. Bila hati sudah sayang, mereka sanggup melakukan apa sahaja. Cinta memerlukan pengorbanan, kerana itu mereka sanggup korbankan `body' dan maruah demi cinta sejati.

Pelajar perempuan ini terlalu mudah dipujuk rayu, di samping mereka mungkin juga terpengaruh dengan filem filem yang menonjolkan adigan yang tidak sepatutnya. Mungkin juga mereka terancang dengan video video lucah yang ditonton bersama pasangan kekasih mereka kerana sekarang video video lucah ini mudah diperolehi.

Ibubapa tidak harus dipersalahkan 100 peratus kerana masa pelajar ini lebih banyak di luar dari di rumah. Macam mana ibubapa hendak kawal sedangkan pengaruhi di luar dan pengaruh kawan kawan lebih mengatasi pengaruh ibubapa. Mereka lebih dengar kata kata kawan rapat atau kekasih mereka dari ibubapa mereka sendiri. Kalau hati sudah suka, ke mana pun mereka sanggup pergi

Inilah padahnya bila sudah terlalu sayang kepada teman lelaki, mereka sanggup tinggalkan ibu bapa. Tidak sekadar ini, mereka sanggup melakukan perzinaan atas dasar suka sama suka. Mereka kata suka sama suka tak apa, tetapi bila perut sudah membuncit baru tahu apa akibatnya.

Didikan agama dari awal penting dalam menghindari perkara jijik begini, tetapi didikan agama juga tidak mampu mencegah perkara ini jika faktur faktur luaran tidak dikawal. Kerajaan perlu memastikan suasana di luar tidak mengundang kepada gejala maksiat, program program yang mungkar perlu disekat, pergaulan bebas lelaki dan perempuan juga perlu dikawal, melalui pergaulan bebas lelaki dan perempuan inilah yang akan mendorong kepada gejala maksiat.

Oleh kerana itu Islam menekankan kepada `jangan hampiri zina', maknanya perkara perkara yang mendorong kepada perzinan perlu dibenteras dan disekat, jika perzinaan akan berluase, kesannya banyaklah anak luar nikah. bayi disampakkan dalam tong sampah.

Sudah lebih 50 tahun BN memerintah negara ini, gejala perzinaan, anak luar nilah makin bertambah. Hukuman mengikuti undang undang Islam tidak dijalankan oleh pemerintah. Jika gejala perzinaan dan buang bayi serta anak luar nilah bertambah dari hari ke sehari hari, Kerajaan BN perlu dipersalahkan kerana tidak berusaha untuk menyekatnya menerusi undang undang Islam.

Ingatlah tangan yang memakah kertas undi itu bagi menentukan kerajaan mana yang berkuasa juga menerima saham akibat tidak terlaksananya peraturan Islam di negara ini kerana mereka memberikan kuasa kepada pihak yang tidak mahu melaksanakan peraturan tersebut.

Halang BN capai majoriti 2/3 Dewan Rakyat


Wan Nik Wan Yussof

Sebelum ini, ruang ini telah dimuatkan pandangan Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan,Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu wakil rakyat melompat parti. Ia memberi natijah bahawa lompat tak boleh, melompat boleh yang bermaksud sebarang tindakan keluar dari perjuangan Pakatan Rakyat adalah tidak boleh, kerana dianggap meninggalkan perjuangan berteraskan prinsip kebenaran dan keadilan yang selari dengan Islam.

Sementara tindakan melompat masuk dibolehkan kerana ia merujuk kepada tindakan untuk meninggalkan perjuangan sekular yang palsu dan zalim, dan kemudian menyertai perjuangan berteraskan kebenaran dan keadilan Islam.

Berikutan itu pula, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah memberi kata dua (Bernama, 23 januari 2010) kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat bahawa mereka akan dipulaukan oleh rakyat jika mengamalkan gejala tidak sihat.

Mungkin maksud gejala tidak sihat itu boleh dikaitkan dengan langkah lompat parti atau membiarkan wakil rakyat bertindak sendirian sehingga berlaku lompat parti. Penting dilihat agar gejala tidak sihat itu tidak berterusan berlaku dalam Pakatan Rakyat. Jika tidak, Pakatan Rakyat akan berdepan dengan perangkap dipasang BN.


Agenda BN

Walau apa pun, perkembangan politik mutakhir ini adalah disyaki sebagai suatu perencanaan perangkap BN. Ia berkaitan dengan percubaan menjayakan agenda BN bagi meraih semula kuasa dua pertiga di parlimen. Maka berlakulah pendekatan membebaskan ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk menyokong BN. Ia selari dengan kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menganggap tindakan keluar parti dan menjadi bebas adalah untuk menyempurnakan agenda Umno dan BN.

Agenda itu turut disokong media massa, apabila beberapa media cetak dan televisyen serta internet telah bertindak sebagai pemutar gelora kepanasan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk reaktif bertembung dengan beberapa orator utama. Terbaru ialah ahli parlimen Nibong Tebal yang mengiringi ahli parlimen Bayan Lepas.

Lebih awal daripada itu adalah ahli parlimen Pasir Mas dan dijangka mengiringi lagi adalah beberapa ahli parlimen yang bermasalah dengan parti masing-masing. Antaranya, ahli parlimen yang berdepan dengan jawatankuasa disiplin parti masing-masing seperti Kulim Bandar Baru dan Shah Alam.

Namun, ahli parlimen Shah Alam mungkin tidak bertindak membebaskan diri kerana dia dari PAS dan persoalan yang dihadapinya pula adalah persimpangan pandangan peribadi bukannya parti. Pengalaman wakil PAS Kelantan era penggal pilihan raya 2004 pernah disogok pihak tertentu agar menyertai BN, tetapi gagal. Mereka semua tidak bertindak membebaskan diri. Ia satu bukti kukuh betapa wakil rakyat PAS begitu kental menghadapi ombak perjuangan parti berteraskan Islam.


Tindakan membebaskan diri

Namun kemungkinan tindakan membebaskan diri boleh berlaku kepada mana-mana ahli parlimen yang longgar keyakinannya kepada dasar perjuangan dan prinsip parti masing-masing. Sebagai mana berlaku sebelum ini, kejatuhan kuasa Pakatan Rakyat memerintah Perak dek kerana tiga Adun ?Behrang, Changkat Jering dan Jelapang ?bertindak membebaskan daripada parti masing-masing lalu menjadi penyokong BN.

Sekiranya pihak BN bertekad untuk meraih dua pertiga dalam tempoh terdekat, maka mana-mana wakil rakyat dari Pakatan Rakyat pasti akan dijadikan fokus operasi membebaskan untuk menyokong BN. Agen BN boleh meneliti senarai ahli parlimen Pakatan Rakyat di setiap negeri yang mencium dan memanaskan masalah dihadapi agar tertarik keluar menjadi ahli parlimen bebas.

Sasaran BN hanya perlu meraih empat orang sahaja lagi untuk membolehkan BN mencapai majoriti dua pertiga, iaitu mencukupkan bilangan 148. Kerusi BN di dewan rakyat asalnya sebanyak 140 kerusi, tetapi dua ahli parlimen BN dari Sabah telah keluar BN menjadikan 138 kerusi. Maknanya BN memerlukan 10 orang lagi menyokong BN.

Berdasarkan perkembangan itu, ahli parlimen yang membebaskan diri setakat ini sudah ada tiga orang di Semenanjung ?Pasir Mas (simbol PAS), Bayan Lepas (KeADILan) dan Nibong Tebal (KeADILan), dua dari Sabah dan seorang yang memang asalnya menang atas tiket Bebas. Menjadikan semuanya 6 bertaraf bebas.

Namun, sikap mutakhir ahli parlimen Kulim Bandar Baru boleh jadi beliau akan mirip menyokong BN kerana sikap songsangnya jelas menyanggah prinsip dan fizikal kepartian.

Begitu juga sebelum ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota turut menjadi sasaran pembujukan pihak Umno agar keluar KeADILan berikutan sikapnya yang tidak berpuas hati dengan pengurusan kewangan parti.

Bagaimana pula dengan beberapa orang lagi ahli parlimen Pakatan Rakyat di serata negeri termasuk di Sabah dan Sarawak?


Tekad BN raih dua pertiga

Walau apa pun, jika benar tekad BN untuk meraih sokongan dua pertiga, mungkin akan berulang pendekatan curang BN dengan menggunakan apa sahaja aparatus bagi meraih sasaran. Sebagaimana kes Adun Behrang dan Changkat Jering pernah disabitkan dengan penyiasatan kes rasuah. Lalu mereka itu keluar parti.

Sabitan yang sama berlaku ke atas seorang Exco Kedah (KeADILan) yang kemudiannya keluar parti. Begitu pula, sejarah lampau dalam kisah turn-about dan about-turn di Kelantan dan penggulingan kerajaan PAS Terengganu pada tahun 1966. Mereka berjaya di Terengganu, tetapi gagal di Kelantan.

Kesemua senario dan jangkaan tersebut adalah landaan krisis yang mungkin dihadapi pihak Pakatan Rakyat.

Mungkin BN tidak akan terkecuali menggunakan isu untuk menambahkan bilangan kerusi Melayu dalam kajian persempadanan baru bahagian pilihan raya bagi menarik lebih sokongan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat menyokongnya.

Mungkin akan ada kalangan ahli parlimen Melayu yang tertarik emi masa depan Melayu?akan keluar dan menyertai Umno dalam sentimen ke arah menambahkan lagi bilangan kerusi Melayu di parlimen mahupun dewan negeri.

Sehubungan itu, kepada parti KeADILan, PAS dan DAP jangan merasai selesa sehingga wujud complacency dengan memandang kecil atau remeh dengan kemungkinan wujud gerakan membebaskan beberapa orang ahli parlimen pada saat ini.

Persidangan wakil rakyat

Di atas peringatan ini, sewajar pihak sakretariat Pakatan Rakyat peringkat pusat hendaklah mengambil langkah menangani krisis itu dengan bijak dan segera. Antara langkah menangani kemungkinan krisis itu ialah mengadakan cegahan secara kolektif melalui suatu persidangan wakil rakyat dan pimpinan parti-parti Pakatan Rakyat.

Melalui persidangan itu, masing-masing parti hendaklah melaksanakan persegaran perjuangan, pemantapan dasar dan penelitian prinsip perjuangan serta mengambil langkah-langkah penyelesaian krisis keyakinan kalangan wakil rakyat agar wakil rakyat dapat mengunci nafsu daripada terjebak dengan pancingan BN.

Wan Nik Wan Yusoff
Setiausaha Politik,
Menteri Besar Kelantan

Sumber: Harakahdaily

Tuesday, March 2, 2010

BIARKAN MEREKA PERGI


Bukan mudah untuk menjadi pemimpin, lebih lebih lagi berada jemaah Islam, Begitu juga berada dalam parti politik yang memperjuangan keadilan dan ketelusan. Bermacam macam perangai pemimpin sama ada pmimpin peringkat tinggi mahupun di peringkat bawahan.

Berjuang untuk kepentingan rakyat bukannya mudah, tidak semudah lidah yang yang bertutur. Rasa tidak puas hati pasti ada di kalangan pemimpin sama ada peringkat tinggi atau bawahan.

Perjuangan bukan kepentingan diri sukar dipraktikan, godaan terlalu banyak. Dalam menempuh perjuangan ini, pasti ada yang tercicir di tengah jalan kerana berbagai halangan, hanya mereka tahuan uji sahaja akan berjaya dan menjadi pemimpin yang dihormati.

Begitulah badai yang melanda dalam PKR, pastinya ada yang tersingkir keluar dalam arus perjuangan. Mereka yang tahan uji sahaja akan bersama dengan perjuangan parti, kerana itu pimpinan PKR usah khuatir dan bimbang, proses ujian itu itu sedang berjalan, mereka yang tercicir di tengah jalan, usah dirayu, biarkah mereka pergi, ada hikmah dibaliknya.

Saperti kata Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali, PKR perlu mengucapkan syukur ke hadrat Allah (swt) kerana Fairuz Khairudin akhirnya meninggalkan parti.

Menurut beliau selepas Fairus Kamarudin, dua lagi tokoh kontroversi PKR dijangka akan keluar parti dan menyokong Umno,

Bagi beliau, Fairus tiada pilihan lain dari meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri kerana beliau ketika itu disiasat SPRM dan prestasinya tidak memuaskan.

"Apabila berhenti, beliau menuntut supaya parti melunaskan hutang untuk dua buah kereta mewahnya dan membayar beliau RM15,000 sebulan buat selama-lama yang ditentukannya. Tidak ada sebab bagi Parti melayan tuntutan itu. Lagipun Parti tidak mampu berbuat demikian," kata Syed Husin.

Menurutnya, atas rasa belas kasihan terhadap anak isterinya seorang baik hati, PKR memberikannya “kerja” dengan bayaran bulanan sebanyak RM4000.

"Beliau tidak puas hati dan oleh itu terus memburukkan pimpinan Parti. Kini beliau sudah berjumpa dengan pemimpin Umno yang boleh membayarnya jauh lebih besar dari itu," katanya.

Begitulah ceritanya bagaimana Fairuz melompat kepada Umno, dari cerita itu menggambarkan kebanyakan mereka yang melompat parti ini ada cerita tersendiri, ceritanya untuk mendapatkan habuan dan kemewahan hidup.

PKR saperti juga PAs bukan parti yang boleh memberi habuan wang ringgit atau kehidupan mewah. Oleh kerana biarkan mereka pergi, biarkah mereka terjun untuk mengejar apa yang dihajati.

Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, mereka yang melompat parti adalah pengkianat perjuangan rakyat, kerana itu mereka hanya layak bersama Umno dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya kemasukan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin ke dalam Umno dan pengisytiharan beberapa orang wakil rakyat keluar dari PKR dan menjadi bebas adalah untuk menyempurnakan agenda Umno dan BN.

Apa yang berlaku itu, katanya, membuktikan Umno dan BN adalah ‘parti tong sampah dan tong najis’ yang layak menghimpunkan bungkusan sampah dan najis di dalamnya.

"Keluarnya mereka akan mewujudkan suasana persekitaran PKR dan Pakatan Rakyat (PR) yang lebih baik.

Ini akan menjadi PKR dan PR sebagai parti yang bersih dari kekotoran dan najis yang membusukkan dan menjadikan PKR dan PR bebas dari menjadi sarang pengkhianat perjuangan rakyat. Pengkhianat perjuangan rakyat hanya layak bersama Umno dan BN.

Apa yang berlaku ini adalah satu pembersihan dalam parti, kerana itu pemimpin pemimpin PKR jangan gundah gulana, biarkan mereka yang tidak tahan uji itu meninggalkan parti, biarlah mereka terjun bersama labu labunya.

Seperti kata Tun Mahathir Umno busuk dari atas hingga ke bawah, biarlah parti yang busuk dan penuh dengan najis yang akan mengambil mereka yang pengkhianat kepada perjuangan rakyat.

Sebagaimana yang dinyatakan Mahfuz, proses alam semulajadi (sunnatullah) yang pasti akan menentu dan melakukan pembersihan parti dari pengkhianat perjuangan rakyat.

Selepas berlakunya pembersihan ini diharapkan PKR menjadi parti yang tidak ada lagi menghadapi masalah, seterusnya bangkit bersama PAS dan DAP untuk `menerajang Umno/BN dari Putrajaya pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Bilakah Umno/BN akan ditalkinkan? Rakyat perlu bertindak bijak bagi memastikan Umno/BN akan tamat riawayat ini pada pilihanraya umum akan datang.

KONSERT MEGA HIBURAN ALTERNATIF BUAT RAKYAT


IPOH: Lajnah Kebudayaan PAS Perak akan menganjurkan Konsert Mega pada 5 Mac ini bertempat di Dewan Peraatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Ipoh, ianya merupakan alternatif kepada masyarakat yang dahagakan hiburan yang sopan dan bertemakan kerohanian.

Ia sudah tentu berbeza dengan konsert-konsert yang dianjurkan pihak lain yang selalunya menampilkan artis-artis yang pakaiannya kurang sopan, telatah para peminat yang menjerit dan terkinjai-kinjai mengikut rentak lagu dan muzik yang dimainkan dan ia lebih kepada hiburan yang melalaikan dari mengingati Allah swt.

Demikian dinyatakan Setiausaha PAS Perak, Misbahul Munir Masduki dalam kenyataan medianya di sini semalam.

Menurutnya konsert yang dianjurkan juga bertemakan Junjungan Kasih Rasulullah saw. sempena sambutan bulan Maulidur Rasul saw., ini sudah tentu lagu-lagu yang dipilih nanti juga bertemakan kerasulan saw.

Beberapa artis dan kumpulan nasyid akan menghiburkan orang ramai. Tiket yang dijual untuk tujuan derma juga tidak mahal, hanya RM 6 sahaja.

Selain nasyid, orang ramai juga akan diperdengarkan deklamasi sajak oleh penyajak terkenal di Perak iaitu Pak Saleh Bakar.

Beliau berharap dengan penganjuran konsert ini pendekatan PAS kepada masyarakat semakin meluas dan medan dakwah bukan sahaja melalui kuliah dan ceramah sahaja.

"Hiburan yang berunsurkan Islam juga boleh mendekatkan masyarakat dengan Islam, jelasnya.

Konvensyen Ulama Muda


TARIKH : 7 MAC 2009

MASA : 8 PAGI 5 PETANG

TEMPAT : HOTEL SERI MALAYSIA IPOH

TERBUKA UMUM KEPADA SELURUH MUSLIMIN DAN MUSLIMAT

TEMA : ” ULAMA’ MUDA PENGGERAK KEBANGKITAN ISLAM ”

SEBARANG PERTANYAAN : USTAZ AKMAL : 019-4088824
USTAZ HAFEZ SABRI : 013-3190807

Monday, March 1, 2010

Sepakat desak, gugurkan pendakwaan Anwar


Wan Nik Wan Yussof

Kesan daripada perjalanan perbicaraan pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah muncul suara sepakat mendesak pendakwaan itu digugurkan. Siri perbicaraan itu sebenarnya telah membongkar nilai kehakiman yang bermotif politik dan tersasarkan daripada lunas keadilan sejagat.

Setelah Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu membuat keputusan muktamad menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibekalkan semua dokumen penting pendakwaan ke atasnya membabitkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, maka beberapa urutan perbicaraan mahkamah telah diteruskan. Sehinggalah berlaku pula permohonannya untuk menggugurkan tuduhan Mohd Saiful ke atas Anwar di Mahkamah Rayuan. Sebelumnya, pihak Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan menolak permohonan Anwar.

Setakat ini mahkamah telah tidak melayan permohonan Anwar atas tiga isu penting: minta mendapatkan akses dokumen pertuduhan ke atasnya, minta supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya, dan permohonan digugurkan pertuduhan ke atasnya.

Sehubungan itu, permohonannya supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya yang difailkan pada 8 Februari akan didengar pada 25 Mac nanti. Anwar juga telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Februari yang telah menolak rayuannya agar mahkamah membatalkan pertuduhan terhadapnya. Sementara tarikh perbicaraan rayuan itu belum ditetapkan.

Sepakat

Ekoran daripada itu, berlakulah beberapa desakan demi desakan beberapa pihak agar kerajaan dapat menggugurkan pertuduhan kali kedua yang tidak munasabah ke atas Anwar itu. Senarai pihak yang mendesak itu antaranya ialah ahli parlimen Australia, presiden PAS, menteri besar Kelantan, ahli senat Amerika Syarikat, bekas perdana menteri Kanada, penasihat seumur hidup DAP dan ulama dunia terkenal.

Ahli parlimen

Antara yang awal adalah 50 Ahli Parlimen Australia yang diketuai oleh Michel Danby menghantar surat bantahan kepada Pesuruhjaya Tinggi Canberra, Datuk Salman Ahmad agar Kerajaan Malaysia menggugurkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby menyerahkan surat itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Salman Ahmad.

Surat itu berbunyi antara lainnya, “adalah perlu untuk dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia bahawa pada pandangan kami sanjungan global terhadap Malaysia akan terjejas dengan tuduhan-tuduhan ke atas Anwar ini.

“Ramai pemerhati mesra Malaysia mendapati sukar untuk mempercayai seorang pemimpin pembangkang utama (seperti Anwar) dikenakan tuduhan liwat buat kali kedua, sejurus selepas partinya memperoleh kejayaan besar dalam pilihan raya kebangsaan.

Ahli senat

Ia kemudian disusuli kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John Kerry yang menggesa kerajaan memastikan perbicaraan yang adil dan saksama kepada Anwar.

“Menggesa kerajaan Malaysia menyediakan perlindungan perundangan yang sewajarnya, yang beliau berhak peroleh selaku seorang Ahli Parlimen dan seorang rakyat dan untuk menyelesaikan kesnya dalam cara yang boleh membina keyakinan dari segi ia tidak memihak dan kewibawaan sistem kehakiman Malaysia."

Bekas perdana menteri

Kemudian, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin dalam The Globe and Mail turut mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan pendakwaan ke atas Anwar.

Menurutnya, jika Malaysia mahu mengambil tempat sebagai antara negara progresif di dunia, adalah sangat penting tuduhan yang didakwanya bermotifkan politik itu digugurkan.

“Sebagai sebuah negara demokratik yang menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, Anwar juga harus diberikan kebebasan untuk melaksanakan visinya.”

Presiden PAS

Sehubungan dengan kritikan pihak luar terhadap perbicaraan Anwar berkaitan tuduhan Mohd Saiful itu, terutamanya oleh pihak 50 ahli parlimen Australia, maka bagi Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melihat sebagai ketempangan sistem kehakiman negara sehingga pihak luar mempersoalkan tuduhan dan pendakwaan ke atas Anwar.

Maka Presiden PAS memakai pertimbangan rasional dengan maksud, sekiranya kehakiman itu menepati nilai keadilan sebenar tidak mungkin pihak luar akan menegur amalan sistem keadilan di Malaysia.

Dua era kezaliman

Justeru itu, memahami konteks maklum balas tersebut, Anwar semacam berdepan dengan dua era kezaliman ke atasnya. Apabila dinilai kepada kehakiman yang pernah dilalui ketika era Dr. Mahathir kerana dituduh dengan pertuduhan yang sama seperti sekarang, pada akhirnya Anwar telah dibebaskan. Maka, pertuduhan ketika itu adalah sengaja dibuat dengan kerana motif politik.

Kini era Mohd Najib, tidak mustahil pertuduhan ke atas Anwar diulangi lagi. Memetik kata-kata John Kerry, tuduhan ke atas Anwar itu bermotifkan politik itu, maka wajarlah ia digugurkan.

Bersama meragui

Langsung, motif sebenar ahli parlimen Australia, John Kerry dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah manifestasi fakta yang secara bersama meragui realiti keadilan dalam kehakiman di Malaysia. Betapa, seluruh pihak di dunia dapat melayari kenangan apabila undang-undang jakun seperti Akta Keselamatan Negeri yang menangkap dan menahan ‘mangsa’ tanpa bicara adalah masih utuh dipakai sehingga ke hari ini.

Ditambah lagi dengan peristiwa rampasan kuasa di Perak yang membelakangkan semangat perlembagaan dan suara demokrasi rakyat. Dikemaskan lagi dengan amalan fahaman jakun yang menepikan perjanjian tatkala menolak pembayaran lima peratus “cash payment” (royalti) hasil minyak di Terengganu dan Kelantan.

Selain daripada, banyak cerita yang masyhur mengenai kes-kes kehakiman yang tertangguh dan pendakwaan terpilih atas salah laku jenayah yang melibatkan individu berprofil VIP. Di samping turut tersebar banyak fitnah bahawa berlaku ‘campur tangan politik’ di dalam proses kehakiman di negara ini.

Menteri besar

Di atas nilai yang sedemikian, Mursyidul Am PAS juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut tidak bersetuju dengan sistem kehakiman di negara ini yang dianggap tidak dapat mencerminkan keadilan sebenar apabila melayan tuduhan yang tidak masuk akal ke atas Anwar yang dibicarakan secara terbuka sehingga membuka aib orang kepada umum.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menegaskan, “apabila orang Australia pun turut sama membuat bantahan, ini bermakna mereka pun terasa dakwaan itu adalah karut.”

Penasihat seumur hidup

Menarik lagi, apabila ‘orang lama’ yang juga penasihat seumur hidup DAP, Dr. Chan Man Hin seperti mana dilaporkan Harakah turut menuntut agar pihak kerajaan menggugurkan segera dakwaan ke atas Anwar.

Baginya, kesan perbicaraan ke atas Anwar akan menyebabkan kesan buruk kepada ekonomi negara berikutan pihak dunia luar akan mengenakan sekatan ke atas Malaysia seperti mana berlaku di Myanmar, apabila negara itu menahan pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi.

“Anwar boleh menjadi seorang lagi Aung San Suu Kyi kerana Anwar dilihat ancaman kepada Najib.”

Pandangan Dr. Chan itu dilihat menjurus kepada perspektif global yang turut mendedahkan wujudnya kesedaran komuniti antarabangsa tentang hakikat pendakwaan ke atas Anwar itu sebagai tindakan mengelakkan Anwar menjadi pencabar Najib sebagai Perdana Menteri.

Ulama dunia terkenal

Turut menggegarkan pelaksanaan kehakiman Malaysia dalam konteks pendakwaan ke atas Anwar ialah ulama dunia terkenal, Tokoh Maal Hijrah Malaysia bagi tahun 1431 Hijri, Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi. Pihak Syeikh Dr. Yusof menggesa kerajaan menimbang untuk menggugurkan pendakwaan ke atas Anwar kerana ia akan menjejaskan nama baik Malaysia di kalangan dunia Islam.

Apatah lagi, pendakwaan itu dibuat dengan penuh keraguan, dan sekiranya wujud keperluan pendakwaan itu, ia hendaklah dilakukan di mahkamah syariah bukannnya mahkamah sivil. Sewajarnya, kehakiman negara ini dapat memberi keadilan kepada Anwar yang berdepan dengan pendakwaan itu.

Serius

Apa pun, pihak kerajaan hendaklah memandang serius atas nilai-nilai keadilan dan ketelusan sistem kehakiman di negara ini. Atas pendakwaan melibatkan Anwar ini terbukti telah wujud suara pemimpin utama dari dalam dan luar negara yang menggesa supaya ia digugurkan. Bermula dengan desakan pemimpin luar (ahli parlimen Australia, ahli senat Amerika Syarikat dan bekas Perdana Menteri Kanada serta Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi) dan pemimpin dalam negeri (Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi dan Dr. Chan Man Hin) menjadikan kes pendakwaan ke atas Anwar kali kedua ini sebagai fokus antarabangsa.

Sehubungan itu, atas nilai kesejagatan keadilan, Anwar sewajarnya menerima pengadilan yang telus dan adil serta berteraskan syariah. Di sini relevan dan rasionalnya gesaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi, dan Dr. Yusof al-Qaradhawi. Maka, ia harus diambil kira demi menyelamatkan maruah negara daripada amalan kehakiman yang rakus dan di luar konteks keadilan.

Sesungguhnya, Tuhan Yang Esa adalah Maha Adil kepada sekalian hamba-Nya.

Wan Nik Wan Yussof,

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan.

Sumber: Harakahdsaily