Tuesday, September 7, 2010

NURUL IZZAH LAWAN PERKASA


KUALA LUMPUR, 7 Sept: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Syed Husin Ali berkata, cabaran Nurul Izzah Anwar (gambar) untuk berdebat berhubung 'hak Melayu' dengan Perkasa dilontar tepat pada sasaran.

Menurutnya, sekurang-kurangnya tiga orang menteri kanan, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menegur atau mengecam cabaran anggota Parlimen Lembah Pantai tersebut.

Pendirian Najib dan menteri itu jelasnya membuktikan dengan jelas bahawa Umno hanya bercakap tentang 1Malaysia, akan tetapi pada hakikatnya mereka tetap dengan golongan perkauman sempit Melayu.

"Sangat tepat pandangan Nurul Izzah bahawa frasa 'hak istimewa' Melayu tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan; yang wujud hanya 'kedudukan istimewa'. Begitu jugalah tidak terdapat slogan 'ketuanan Melayu' dalam Perlembagaan," katanya.

Pendirian Nurul Izzah itu juga jelasnya selari dengan pendirian PKR dan Pakatan Rakyat yang mendukung seluruh semangat Perlembagaan Persekutuan.

Ianya termasuk kedudukan Agama Islam, Sultan serta Bahasa Melayu, dan juga kedudukan istimewa Melayu asalkan ia tidak disalahguna untuk memuaskan kerakusan golongan berkuasa yang memang sudah istimewa.

"Mana-mana perlembagaan negara bukannya seperti al-Quran ciptaan Allah yang tidak boleh diubah oleh manusia.

"Perlembagaan Persekutuan telah dipinda lebih 40 kali," katanya yang juga Ahli Dewan Negara.

Nurul Izzah pada penghujung Ogos lalu mendakwa idea “hak orang Melayu” dibawa oleh Perkasa hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakarumbikan perlembagaan.

Beliau kemudian mencabar pertubuhan bukan kerajaan Melayu itu agar berdebat dengannya berhubung perkara tersebut.

Perkasa bagaimanapun Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali mengetepikan cabaran Nurul Izzah dengan alasan aspek tersebut tidak boleh dipersoalkan sama sekali.

Beliau juga mendakwa Nurul Izzah bukan lawannya tetapi lawan sebenar beliau adalah bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum PKR.

sumber: Harakahdaily

No comments:

Post a Comment