Tuesday, May 25, 2010

Kerajaan kena peka bukan pekak


Jamaiy terpanggil untuk menyatakan sikap tentang isu kelulusan lesen perjudian bola sepak kepada saudagar perjudian Vincent Tan yang juga memiliki Syarikat Berjaya Toto.Kelulusan lesen perjudian tersebut tidak boleh dipisahkan dengan tindakan Dato Seri Najib Razak yang telah memberikan kelulusan 10 lesen cabutan judi tambahan lewat tahun 2008.

Perjudian yang melibatkan pertaruhan lumba kuda dan lain-lain tidak boleh disamakan dengan pertaruhan bola sepak. Rakyat yang mengikuti perkembangan lumba kuda tidak begitu ramai dan sebahagian besar adalah orang bukan Melayu –yang beumur 30 tahun keatas. Tetapi sukan bola sepak di minati jutaan rakyat tanpa mengira jantina , umur bangsa dan agama. Tentulah implikasinya jauh lebih merosakkan dan meluas.

Perlu dimaklumkan kelulusan lesen-lesen judi adalah urusan dan hak Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan. Peranan Kerajaan Negeri melalui Majlis-Majlis Kerajaan tempatan adalah mengurus lesen premis. Maknanya kenyataan menuduh lesen-lesen judi bertambah di Negeri-Negeri Pakatan Rakyat adalah kenyataan tanpa fakta. Bagi membanteras perjudian, semua pihak mesti bekerjasama termasuklah Kerajaan Pusat, Negeri, NGO dan juga rakyat.

Bagi mana-mana pihak yang mengambil sikap lunak keatas isu judi bola sepak hanya kerana keputusan itu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kerana pada masa yang sama kedapatan kononnya aktiviti perjudian yang meningkat di Negeri-Negeri tadbiran Pakatan Rakyat (PR) adalah satu sikap yang bertentangan dengan prinsip “amar makruf nahi mungkar” dan “bantulah saudara kamu yang zalim dan di zalimi”.

Semua pihak mesti memberikan tekanan menentang apa sahaja bentuk perjudian bentuk baru sambil terus memberi tekanan dan membina ‘public opinion’ supaya rakyat benci judi dan semua kerajaan (BN atau PR) secara terancang berusaha menghentikan semua jenis perjudian di Malaysia.

Perlu dinyatakan dalam menentang kemungkaran kita tidak boleh langsung memiliki sikap assobiyah iaitu mempertahankan kebatilan kerana pelakunya puak atau/parti yang kita sokong. Kewajipan menegur pemimpin yang melakukan kesilapan/kezaliman adalah kerana cinta kita kepada saudara seagama supaya pemimpin tersebut memperbaiki kesilapan dan tidak berterusan di laknat Allah – iaitu pendekatan membantu saudara seagama yang zalim!

Memahami konsep tersebut rakyat beragama Islam khususnya pemimpin-pemimpin UMNO dan ulama wajib memberhentikan lesen-lesen perjudian yang pernah dimulakan oleh pemimpin-pemimpin negara terdahulu supaya roh pemimpin tersebut tidak terus terbeban dengan kemungkaran yang masih diteruskan. (sila rujuk hadis Rasulullah)

Kita berharap isu perjudian bola sepak terkini akan menjadi pembuka mata (eye opener) bahawa semua agama menentang perjudian dan tidak ada rakyat yang beruntung kerana aktiviti perjudian. Yang tetap kaya adalah tauke-tauke judi sedangkan rakyat akan terbelenggu dengan hutang dan jangan di lupakan kedapatan kes-kes keruntuhan rumahtangga dan bunuh diri.

Jamaiy menyokong penuh saranan bebas PM Tun Abdullah Badawi supaya Kerajaan peka dengan kehendak rakyat. Namun perlu diingatkan ketaatan kita kepada Allah sepatutnya menjadi faktor motivasi yang terpenting dalam membuat keputusan. Kekhuatiran tentang takut hilang sokongan rakyat dan keberhasilan cukai perjudian tidak sepatutnya menjadi faktor penentu dalam isu-isu berkaitan agama terutama dalam urusan halal dan haram.


Dr. Hj. Khairuddin Bin Dato’ Abd. Malik ( Pengerusi JAMAIY Perak)

No comments:

Post a Comment