Friday, August 20, 2010

MCA dan Umno sama sahaja


DAMANSARA – Pakatan Rakyat (PR) membidas tindakan MCA yang disifatkan untuk menjaga kepentingan entiti perniagaan kaum Cina dengan mempersoalkan ekuiti Bumiputera baru-baru ini.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MCA dilihat bersikap seperti UMNO kerana menjaga kepentingan kekayaan segelintir pihak sahaja.

“Mereka ini tidak boleh lari dari kerangka pemikiran UMNO kerana hanya memikirkan peratus untuk jaga kepentingan masing-masing.

“Dalam perdebatan MCA tersebut, isu peratus hanya untuk peniaga-peniaga besar Cina bukan majoriti,” katanya dalam sidang media di ibu Pejabat Parti Keadikan Rakyat di sini, semalam.

Menurutnya, berbanding dengan PR yang menitiberatkan kepentingan majoriti rakyat kerana isu peratus ekuiti Bumiputera tidak mampu menyelesaikan masalah asas rakyat.

Beliau turut mengulas berhubung penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham di Kelantan sebagai alternatif kepada kekuatan ekonomi iaitu ‘tangible assets’.

“Dinar emas memberikan satu alternatif iaitu transaksi melalui dinar ada kekuatannya tersendiri yang mana harus diberi ruang untuk sokongan.

“Namun apakah ia untuk seluruh sistem sudah tentu tidak, tetapi ia merupakan satu permulaan yang realistik kerana ada satu hujah yang cukup kukuh untuk mempertahankannya,” katanya.

Menurutnya, penggunaannya perlu di berikan secara bertahap dengan Kelantan memperkenalkannya terlebih dahulu sebelum diperkenalkan secara menyeluruh.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment