Thursday, July 29, 2010

Polimik perpaduan Melayu


KENYATAAN AKHBAR PAS PERAK MENGENAI ISU POLIMIK PERPADUAN MELAYU DAN KATA-KATA MENGHINA MUFTI PERAK.

PAS Perak ingin menyatakan kekesalan atas sikap sebahagian kecil warga Negara ini yang terlibat dalam budaya menggunakan label-label yang kasar dan melampau keatas personaliti-personaliti yang tidak digemari atas pelbagai sebab dan kepentingan. Khusus dalam kes terkini label-label melampau yang ditujukan kepada SS Mufti Kerajaan Perak Tan Sri Harussani Bin Zakaria adalah dirujuk. Kami mendoakan Tan Sri Mufti bersabar dan diberikan kesejahteraan oleh Allah.

PAS Perak mengajak ummat untuk mematuhi arahan Agama dan Al Quran tentang :
i) Larangan memanggil saudara seagama dengan gelaran-gelaran yang tidak baik.
ii) Perlunya kembali kepada Al Quran – Al Sunnah jika ada pertikaian dikalangan orang-orang beriman.

Dalam kontrovesi terbaru yang melibatkan isu perpaduan Melayu yang cuba diterokai oleh Mufti Perak kami ingin memberikan beberapa saranan kepada beliau bagi menjernihkan suasana kurang baik tersebut. Juga bagi memurnikan amanah besar yang beliau tanggung kepada ummah dan Kerajaan yang beliau dipertanggungjawabkan menasihatinya.

Tidak dapat dinafikan longgarnya pegangan dan amalan beragama di kalangan orang-orang Melayu terhadap Islam samada di kalangan pemimpin tertinggi hinggalah kepada rakyat marhaen.

Indeks-indeks murtad, zina, anak luar nikah, dadah, HIV, sumbang mahram, perceraian, dedah aurat, rasuah, pengumpulan harta di kalangan elit dan keluarga pemerintah adalah berleluasa dan menjadi testimoni kepada kegagalan sistem yang ada. Sistem Negara dan pemerintah perlukan Islah menyeluruh.

Bahkan salah laku dalam elit kehakiman Negara dan agensi-agensi penting Kerajaan seperti Polis (PDRM), SPRM, SPR dan kegagalan agensi penerangan Kerajaan seperti RTM dalam memberikan contoh, hala tuju dan keadilan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama adalah perkara yang mengecewakan rakyat yang cintakan Islam. Juga isu-isu tersebut menjadi faktor utama yang melambatkan proses dakwah dan transformasi (islah) dalam Negara ini – menuju Negara yang diredhai Allah.

Kecuali dalam isu murtad. Apabila rakyat tertunggu-tunggu respon dan teguran Mufti dalam isu-isu besar seperti pengumpulan kekayaan di kalangan pemimpin UMNO, pendakwaan terpilih, kehakiman yang songsang, pelanggaran amanah oleh Kerajaan Pusat terhadap Kerajaan Negeri dibawah Pakatan Rakyat (contohnya royalti minyak Kelantan & Terengganu 1999), kes perangkap sex dan rasuah oleh UMNO & SPRM bagi menjatuhkan Kerajaan PR Perak, kenyataan-kenyataan anti Islam oleh pemimpin –pemimpin UMNO, Penggadaian kedaulatan Negara kepada Singapura dan Brunei oleh UMNO/BN. Rakyat kecewa tanpa diberikan pimpinan.

Apabila Mufti bersikap pasif dan membisu dalam isu-isu yang dirasakan penting oleh rakyat tiba-tiba sekarang Mufti terlibat langsung dalam kemelut politik yang dilihat partisan tentulah sukar bagi rakyat menerimanya dengan baik sangka. Lebih-lebih lagi apabila umum mengetahui Mufti pernah memberikan ucapan-ucapan yang ditafsirkan sebagai menyebelahi UMNO.

PAS Perak dengan rasa rendah diri mengajak semua Mufti-Mufti supaya bangun menjuarai apa sahaja isu-isu ummah tanpa memihak dan rasa takut kepada sesiapa dengan nasihat-nasihat dan teguran-teguran yang profesional berdasarkan Al Quran – Al Sunnah tanpa dipengaruhi sentiment politik sempit. Jika ini dapat dilakukan kami yakin nasihat-nasihat mufti akan diterima baik oleh orang-orang Melayu dan rakyat seluruhnya. Pada ketika itu seluruh rakyat Islam dan bukan Islam pasti kagum dengan kehebatan institusi ulama dalam Islam – sekaligus menjadi agen dakwah yang berkesan.


DR. HJ. KHAIRUDDIN BIN DATO’ ABD. MALIK ( TIMBALAN PESURUHJAYA PAS PERAK)

No comments:

Post a Comment