Tuesday, January 4, 2011
ISU ANCAK: DPP PERAK TEMUI TOKOH AGAMA
IPOH: Beberapa siri pertemuan dengan tokoh tokoh di negeri ini akan diadakan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mereka berhubung tindakan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir yang menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober.
Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Mohd Munir Ali, dalam kenyataan medianya di sini hari ini.
Pemuda PAS Perak merasakan pandangan dan maklum balas daripada tokoh-tokoh ulama ini penting terutama daripada kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Fatwa Negeri Perak. Ini kerana Umat Islam di negeri ini berhak dan perlu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perlakuan Zambry daripada sudut pandangan Islam yang lebih menyeluruh, adil dan telus.
"Kekeliruan yang berlaku boleh memburukkan lagi keadaan kejahilan umat Islam yang memerlukan penjelasan terperinci dan tegas yang berlandaskan Syariah dari tokoh-tokoh ulama berwibawa," ujarnya.
Menurut beliau apa yang dilakukan oleh Zambry perlu dilihat sebagai keperluan yang mendesak memandangkan Zambry adalah seorang ketua kerajaan negeri dan yang lebih berat lagi beliau juga menerajui bidang kuasa kerajaan negeri dalam hal ehwal agama Islam.
"Oleh itu sudah tentu segala perbuatan Zambry bakal menjadi contoh dan ikutan kepada pegawainya dan seluruh rakyat," katanya.
Pemuda PAS Perak akan terus memberikan penerangan kepada rakyat terutamanya yang beragama Islam agar tidak terus terkeliru dengan isu ini, dalam masa yang sama akan berusaha kuat untuk menggerak umat Islam agar menentang segala bentuk khurafat dan kejahilan sepertimana yang telah dilakukan oleh Zambry, jelasnya.
"Kita masih menunggu jawapan balas daripada Tan Sri Harussani berhubung dengan pelawaan untuk bertemu dan berbincang secara telus dan ilmiah Dalam masa yang sama Pemuda PAS Perak berhasrat menjemput Zambry untuk hadir memberi keterangan dan hujah beliau dalam pertemuan yang sama."
Namun Pemuda PAS Perak yakin Zambry akan menolak pelawaan tersebut kerana pernah tidak menerima jemputan daripada Pemuda PAS Perak untuk memberi penjelasan terhadap tindakan Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin memegang lilin setelah beliau sendiri yang mencabar DPPN menyatakan pendirian kami terhadap insiden tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment