Monday, January 24, 2011
ISU ANCAK: PEMUA UMNO DIDESAK NYATAKAN PENDIRIAN
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) meminta pendirian Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak berhubung tindakan Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober lalu dalam konteks pemerkasaan aqidah ummah Islam terutamanya di Negeri Perak.
DPPN Pk tidak akan meletakkan syarat bagi Pemuda Umno Perak untuk memperjelaskan pendirian tersebut. DPPN Pk yakin jika Pemuda Umno Perak dipelawa ke pentas debat pun, belum tentu ianya dapat direalisasikan kerana jelas bukan budaya Umno untuk berhujah secara langsung dan telus.
Dalam masa yang sama, DPPN Pk mempelawa Pemuda Umno Perak memperjelaskan isu tersebut semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Tenang ketika ini.
DPPN Pk juga yakin ramai Pemuda Umno Perak yang berilmu di dalam jurusan agama Islam yang mampu memperjelaskan isu tersebut. DPPN Pk tidak memandang rendah kemampuan Pemuda Umno Perak yang agak agresif kini setelah mengalami perubahan dalam barisan kepimpinan mereka. Sudah tentu rakyat ingin melihat sejauh mana kesungguhan dan keberanian Pemuda Umno Perak yang dikatakan jauh berbeza daripada dahulu.
DPPN Pk menunggu pandangan Pemuda Umno Perak bagi melihat apakah sebenarnya pendirian mereka terhadap perbuatan Datuk Seri Zambry tersebut dalam aspek hukum dan kemaslahatan ummat Islam. Adakah perbuatan tersebut tidak akan memberi kesan dalam pembudayaan khurafat yang melemahkan pemerkasaan aqidah di bumi Perak.
MOHD MUNIR ALI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment