Thursday, January 13, 2011
JAHILKAH ZAMBRY ATAU .............
IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) bimbang Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir yang mempunyai kelulusan Master dalam Pemikiran Islam (UIAM 1991) mungkin boleh mengubah kefahaman dan budaya pemikiran ummat Islam hasil perbuatannya semasa menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober yang lalu.
Budaya pengamalan dan peninggalan agama Hindu tersebut yang semakin terhakis kehidupan masyarakat Melayu kembali menjadi teka-teki dan persoalan yang masih belum terjawab secara tuntas yang bakal membiarkan ummat Islam terus terkeliru.
DPPN Pk yakin Datuk Seri Zambry yang belajar ilmu Islam di peringkat tinggi yang juga memegang jawatan Hal Ehwal Islam tidak mungkin begitu jahil dan tidak memahami batas-batas Islam, khurafat dan syirik yang boleh berlaku dalam percakapan dan amalan atau perilaku yang bercanggah dengan kehendak syara'.
Datuk Seri Zambry yang kerap kali mengimami solat ketika majlis-majlis di Kediaman Menteri Besar Negeri Perak mustahil tidak memahami apa yang telah berlaku pada ketika itu. Malah Datuk Seri Zambry yang biasa menyampaikan ceramah Agama seperti di Masjid Ibnu Salam, Pengkalan Pegoh juga pasti akan merasa janggal dan canggung dengan perilakunya pada majlis tersebut.
DPPN Pk merasakan pengakuan bersalah Datuk Seri Ir Haji Mohammed Nizar Jamaluddin berkaitan isu memegang lilin dan kesediaan beliau untuk bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan tersebut semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang lepas jauh lebih mulia dan beradab dengan Allah walaupun beliau tidak mendapat pendidikan Islam secara formal di peringkat tinggi seperti Datuk Seri Zambry. Malangnya Datuk Seri Zambry pula tidak langsung merasa insaf untuk mengaku dan membaiki kesalahan tersebut malah meletakkan semua persoalan di atas bahu Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria.
DPPN Pk sekali lagi mengulangi kesediaan kami untuk bersemuka dengan Datuk Seri Zambry bagi merungkai persoalan tersebut kerana ianya adalah isu aqidah ummat Islam. Mana mungkin Datuk Seri Zambry yang mempunyai latar belakang Islam tidak mahu menyelesaikan isu ini yang semakin hari semakin rumit buat ummat Islam dengan kesemua pihak yang bertanggungjawab hanya membisu seribu bahasa. Adalah malangnya buat ummat Islam kerana dibenarkan terus jahil oleh seorang yang mempunyai ilmu di dalam bidang Agama iaitu Datuk Seri Zambry!
MOHD MUNIR ALI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment