Thursday, March 18, 2010

Pertikaian Speaker DUN tiada hujungnya?


IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat kecewa dengan perbalahan mengenai kedudukan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang masih berlarutan sudah hampir 6 bulan tanpa ada jawapan daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab mengikut Undang-Undang serta Perlembagaan dalam nNegara ini.

Demikian dinyatakan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Salmah Saleh dalam satu kenyataan medianya di sini hari ini.

Menurutnya, Pemuda PAS Perak merasakan kemelut kedudukan Speaker DUN Perak sepatutnya sudah lama diselesaikan dan bukannya masih mempertikai siapakah sebenarnya Speaker DUN Perak yang sah.

Ini kerana keputusan kedudukan V. Sivakumar sebagai seorang Speaker DUN Perak masih belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, malah penyiasatan oleh pihak polis berkaitan Speaker DUN Perak yang menyamar masih belum terjawab, katanya.

"Diberitakan akan ada satu Sidang DUN Perak pada 30 Mac ini, kenapakah persoalan-persoalan berkaitan kedudukan Speaker DUN Perak ini masih tidak terjawab lagi," ujar beliau.

Dalam masa yang sama kenapa ada pihak yang tertentu melanggar peraturan-peraturan yang sedia ada dan cuba "menegakkan benang yang basah" di dalam isu ini,jelasnya.

Rakyat tentunya akan kecewa dengan apa yang akan berlaku pada 30 Mac ini, malah ketakutan pelabur berkaitan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri akan terus dipertikaikan, katanya.

Sehubungan itu Pemuda PAS Perak katanya, mendesak pihak yang berkaitan menjawab dengan segera persoalan tersebut dan meminta pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan segera jika ianya melanggari Undang-Undang sedia ada.

"Rakyat negeri ini khasnya dan masyarakat dunia amnya sudah tentu ingin melihat keadilan dapat dijelmakan? kembali di negeri Perak ini", katanya.

No comments:

Post a Comment