Friday, March 19, 2010
` Rakyat didahulukan' diketepikan di Hospital Batu Gajah?
Batu Gajah: Baru baru ini ADUN Tronoh, V. Sivakumar telah membuat lawatan mengejut ke Hospital Batu Gajah untuk melihat sendiri rungutan dari orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberikan hospital tersebut.
Beliau mendapati perkhidmatan pesakit luar di sospital itu amat mengecewakan. Keadaan ini terbukti apabila para pesakit terpaksa menunggu berjam-jam untuk berjumpa dengan doktor. Tempat menunggu pula agak sesak kerana kekurangan tempat duduk.
Malah kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) serta warga emas juga tidak disediakan. Banyak aduan serta rungutan daripada orang awam timbul akibat keadaan ini.
Encik Subramaniam (54) berkata beliau telah datang ke hospital pada pukul 8.30 pagi dan masih lagi menunggu hingga pukul 11.10 pagi.
Beliau agak kecewa kerana walaupun diberi nombor giliran di kaunter pendaftaran, sistem ini tidak digunapakai kerana kerosakan kaunter paparan nombor giliran yang menyebabkan semua pesakit dipanggil secara seorang demi seorang.
"Keadaan ini ternyata menimbulkan rasa kurang selesa," jelas Zaizazura dari Lahat serta dan Encik Krishnan (62 tahun) dari Taman Changkat Mewah.
Ini adalah kerana sekiranya ada sistem penomboran dan kaunter paparan berfungsi dengan baik ianya akan memudahkan mereka untuk membuat perkara lain tanpa membuang masa menunggu.
"Kalau hendak pergi ke tandas pun susah kerana jika nama pesakit dipanggil sekali dan pesakit tersebut tidak berada di tempat rawatan, terlepaslah gilirannya" ujar Encik Ko Pee Yu (70 thn).
Puan Norma (50 thn) dari Batu 5 Jalan Gopeng mengeluh kerana beliau terpaksa menunggu lama walaupun ibunya seorang warga emas. Padahal pihak hospital perlu menyediakan perkhidmatan khas untuk warga emas.
Beliau juga agak kesal kerana membuang masa dengan menunggu begitu lama, dalam masa yang sama beliau terpaksa menghantar anak-anaknya ke sekolah.
Encik Jasmal Singh (50thn) dari Desa Changkat juga agak kesal dengan tahap perkhidmatan kerana telah menunggu hampir 3 jam. Beliau mengadu kenapa kaunter paparan nombor giliran tidak diperbaiki dan sistem manual digunakan. 'Ianya akan mengambil masa yang agak panjang dan tidak mengikut urutan ' katanya lagi.
Melihatkan keadaan orang ramai masih menunggu Encik Ramalingam (46 thn) dari Ara Payung terpaksa membatalkan hasratnya untuk berjumpa dengan doktor kerana khuatir dia terpaksa menunggu untuk masa yang lama dan ini bukan kali pertama beliau menghadapi senario ini.
Menurut Sivakumar kemajuan dan pembangunan sesebuah negara tidak boleh dinilai dengan adanya struktur-struktur bangunan yang besar dan tinggi mencakar langit. Kemajuan yang sebenar adalah dari segi pembangunan ehsan.
Perkhidmatan yang cemerlang harus diberi oleh semua sektor kerajaan terutamanya sektor kesihatan.
"Jika ia gagal memberi perkhidmatan yang baik kepada pesakit-pesakit ia membuktikan kemunduran sesebuah negara," katanya.
Di negara-negara mundur di dunia ini katanya lagi, sektor kesihatan di sana tidak menggalakkan dan mereka berada dalam keadaan yang mundur.
Oleh kerana itu jika di Malaysia juga sektor ini tidak diberi keutamaan, apalah bezanya Malaysia dengan negara-negara mundur di dunia.
Melihatkan keadaan perkhidmatan di Hospital Batu Gajah yang serba kekurangan ini membuktikan aspirasi kerajaan untuk "rakyat didahulukan" diketepikan sama sekali, jelasnya.
Beliau mencadangkan supaya menambahkan bilangan doktor di Jabatan pesakit luar dan juga perbaiki semua kaunter paparan nombor giliran diperbaiki agar orang ramai tidak keliru.
Beliau turut mengharapkan pihak hospital juga menyediakan kemudahan-kemudahan asas di hospital untuk keselesan orang ramai.
"Adalah tidak wajar untuk kerajaan memperkenalkan Klinik 1 Malaysia dengan belanja berbillion ringgit dalam masa yang sama hospital hospital dan klinik-klinik desa tidak ditadbir dengan baik dan kekurangan," tegasnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment