Wednesday, March 17, 2010

Zambry diminta jangan beri pelbagai alasan


IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) meminta Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pampasan pengambilalihan tanah berjumlah RM37 juta yang diminta oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kuala Sepetang, Taiping dapat diberikan tanpa pelbagai helah.

Demikian ditegaskan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Salman Saleh dalam kenyataan media di sini semalam.

Pemuda PAS Perak katanya, akan mempertahankan dan meneruskan memperjuangkan hak penduduk Kuala Sepetang, Taiping berkaitan pampasan bagi tanah rizab seluas 94.5 hektar mereka.

"Hak mereka perlu didahulukan dan bukannya mencipta pelbagai alasan untuk tidak memberikan pampasan sepertimana yang telah diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurut beliau, pentadbiran Zambry yang sebelum ini mengatakan telah banyak menerima pelbagai pelaburan yang besar sudah tentu tidak akan mengatakan bahawa tuntutan tersebut sebagai keterlaluan.

Malah kemampuan yang ada pada pentadbiran Zambry akan memastikan semua tuntutan pampasan tersebut dapat dijelaskan, katanya.

"KIta berharap Zambry tidak menolak permohonan pampasan tersebut tanpa melihat sendiri permasalahan rakyat, jangan mencipta pelbagai alasan untuk menidakkan hak rakyat yang perlu dijaga," tegasnya.

Namun begitu sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi, Pemuda PAS Negeri berharap rakyat sewajarnya sedar kemampuan pentadbiran Zambry yang masih bergelut dengan kemelut kelembapan ekonomi negeri.

No comments:

Post a Comment