Sunday, September 5, 2010

Kebenaran Islam wajar diperkenalkan kepada bukan Islam



OLEH: MOHD HAFIZ SABRI
Ipoh – Pesuruhjaya PAS Perak di sini hari ini, menegaskan supaya dakwah diteruskan kepada masyarakat yang bukan Islam supaya mereka lebih mengenali Islam.

Mengulas lanjut, beliau mengatakan masyarakat bukan Islam perlu terlebih dahulu diperkenalkan kepada Islam sebelum mereka diperkenalkan kepada orang Islam.

Hal ini, menurut beliau adalah kerana kebenaran perlu diperkenalkan kepada mereka terlebih dahulu untuk mereka menilai siapa sebenarnya yang membawa kebenaran.

“PAS perlu menyampaikan dakwah kepada masyarakat bukan Islam supaya sampai kepadanya ilmu Islam sebelum ia menumbuhkan keyakinan kepada mereka. Manusia memusuhi apa yang tidak ia ketahui,” ujarnya lagi mengenai keperluan PAS untuk mendekati dan berdakwah kepada masyarakat bukan Islam.

Menurut beliau lagi pada saat kini, masyarakat bukan Islam sedang menunggu-nunggu dakwah daripada PAS supaya mereka lebih memahami polemik isu yang dimainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini.

Hal ini juga kerana, kini, masyarakat bukan Islam diwarwarkan dengan keharmonian yang dicanang oleh UMNO dan BN sedangkan hakikatnya,

PAS dan Pakatan Rakyat telah terlebih dahulu menunjukkan contoh keharmonian di antara kaum yang lebih baik daripada UMNO dan BN.

“Kita perlu pasarkan produk berkualiti kita kepada masyarakat supaya masyarakat nampak keperluan untuk menumbangkan kerajaan korup yang ada kini,” katanya lagi.

Selain itu, katanya lagi, PAS dan PR sebenarnya mempunyai perwatakan yang lebih meyakinkan berbanding daripada perwatakan pemimpin UMNO dan BN yang kini penuh terpalit dengan najis rasuah.

Oleh kerana itu para ‘amilin di dalam PAS perlu bekerja lebih keras untuk berdakwah samada melalui contoh tauladan, penyampaian risalah penerangan dan sebagainya.

Akhirnya masyarakat Malaysia kini tidak boleh mengharapkan UMNO untuk menyampaikan Islam, katanya.

“PAS kini perlu bersedia untuk menggantikan tempat UMNO untuk menyampaikan Islam dan menerajui Malaysia,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment