Thursday, September 30, 2010
PELABOR ASING TIDAK YAKIN DENGAN KERAJAAN PERAK
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melihat fakta yang telah dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berdasarkan projek-projek yang telah mendapat kelulusan kerajaan negeri pada tahun 2009 dan bagi tempoh Januari hingga Jun bagi tahun 2010 jelas menunjukkan bahawa pelaburan asing yang masuk ke Negeri Perak adalah tidak meyakinkan dengan hanya sebanyak RM872 juta sahaja.
Kebergantungan pelaburan tempatan sahaja yang banyak diterima oleh Kerajaan Negeri Perak dengan jelas menunjukkan bahawa pelabur asing masih kurang yakin terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang sedia ada.
Bila disebut ‘kuasa ketiga’, inilah antara punca sebenarnya mengapa pelabur asing tidak yakin untuk melakukan urus niaga di Perak ini. Ianya berdasarkan kedudukan pentadbiran kerajaan negeri yang bergantung kepada ‘kuasa ketiga’ untuk terus mentadbir kerajaan negeri selama ini.
Jika ‘kuasa ketiga’ tersebut mengubah pendirian mereka, sudah tentu kerajaan negeri yang di bawah Barisan Nasional (BN) ini akan tumbang pada bila-bila masa sahaja. Pelabur asing sudah tentu tidak akan menanggung risiko yang tidak menguntungkan mereka yang jelas tiada ketentuan yang dapat diberi jaminan sehingga sekarang.
Jika ‘kuasa ketiga’ tersebut bersama dengan komponen mana-mana parti di dalam BN, mungkin itu antara penyelesaiannya.
DPPN Pk meminta kerajaan negeri di bawah BN ini bertanggungjawab atas kurang yakinnya pelabur asing ini yang sudah tentu memburukkan lagi imej Negeri Perak di mata dunia. BN perlu kembalikan keyakinan semua pihak jika masih menerima demokrasi tulen yang sebenarnya.
SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment