Wednesday, January 20, 2010
AKHIRNYA KALIMAH `ALLAH" DIMUZAKARAHKAN
DZULFIKAR MASHOOR
Akhirnya para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sedia bermuzakarah secara harmoni dengan cendekiawan muslim, ahli akademik, para pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta beberapa pihak lagi.
Walaupun muzakarah di kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bukit Segambut malam tadi dilihat agak lewat, sekurang-kurangnya inisiatif tersebut boleh dijadikan sandaran bahawa masing-masing begitu peduli dengan isu kalimah ‘Allah’ serta tidak mahu isu tersebut dijadikan ‘tiket’ untuk menghalalkan gereja-gereja di Malaysia dibom oleh pihak tertentu.
Bagi Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid, PR seharusnya lebih bersikap realistik dalam menyelami perasaan sebenar akar umbi masyarakat Islam, khususnya di kalangan orang-orang Melayu.
“Kita mungkin boleh kata ini emosi orang Melayu semata-mata, tapi mereka yang di bawah rakyat berasa sendiri kegelisahan sebenar orang-orang Melayu,” jelasnya.
“Iyalah...memang perlu dakwah dan kefahaman yang rasional, tapi kita juga harus rasional melihat realiti sebenar orang-orang Islam Melayu apabila kalimah Allah ini dituntut sebegitu.”
Menurut beliau, realiti emosi sebegini timbul bukan disebabkan Ketua Paderi Gereja Roman Katholik, Tan Sri Murphy Pakiam memohon menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar minggu mereka, The Herald semata-mata.
Tetapi, umat Islam menurutnya, begitu merasai asakan demi asakan dari pihak tertentu, bermula pada kes permohonan gugur perkataan Islam pada kad pengenalan oleh Azalina Jailani atau Lina Joy, tuntutan mayat Allahyarham Muhammad bin Abdullah atau Moorty, usaha merendah-rendahkan kedudukan Mahkamah Syariah dengan mendesak Artikel 121 (1A) digugurkan; dan banyak lagi.
Mengakui perkongsian Azmi itu, Anwar mahu perbedaan pendapat tersebut terus digalakkan.
Tetapi, perbedaan tersebut menurut Anwar, tidak seharusnya dijadikan asas untuk semua pihak mengetepikan kezaliman yang lebih besar, yang dilakukan oleh Umno.
“Sebab itu, sama ada kita setuju atau tidak, baik tidak dipertajamkan,” tegas Anwar.
Tambah Anwar lagi, kebimbangan seperti yang diperkatakan oleh Cikgu Azmi juga adalah sesuatu yang wajar.
Pun begitu, kebimbangan tersebut tidak boleh menjadikan para pendakwa Islam bersikap rendah diri (infearility complexs), sebaliknya harus progresif menjelaskan keadilan Islam secara rasional dan wacana.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mencelah kemudiannya berkata, kebimbangan yang dirasai bersama itu tidak boleh dijadikan asas untuk menghalang orang bukan Islam melihat keadilan Islam.
“Kalau hari ini kita (umat) Islam bimbang dan berjaya menghalang mereka dari menggunakan kalimah (Allah), esok lusa kita akan halang mereka pula menggunakan kalimah ‘Isa’ disebabkan bimbang,” jelas Khalid.
“Kebimbangan kita menyebabkan orang bukan Islam tidak dapat keadilan dan hikmah Allah, sedangkan Dia sendiri membenarkan namaNya disebut-sebut oleh sekelian hamba-Nya.”
Bagi filosof Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Emeritus Dr Osman Bakar pula, membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ lebih menguntungkan Islam itu sendiri.
“Membenarkan mereka menyebut ‘Allah’ sebenarnya memudahkan mereka mengkaji Islam kerana ada ‘persamaan nilai’ akhirnya menguntungkan Islam, kalau tidak umatnya; kerana mereka mengkaji tentang Tuhan kita,” jelas Osman.
Mengambil pengalaman melihat sendiri ‘budaya beragama’ di Amerika Syarikat pasca runtuhnya Pusat Perdagangan Antarabangsa (WTC) pada 11 September 2001 yang lalu, Osman berkata inkuiri penganut agama Kristian terhadap Islam amnya tidak begitu mudah, disebabkan tiada ‘persamaan nilai’ – iaitu menggunakan nama ‘Allah’.
“Di Amerika, orang bukan Islam menganggap orang Islam menyembah suatu Tuhan yang lebih kecil daripada kita hinggakan nampak seperti Tuhan mereka dan kita berlain-lainan.
“Akhirnya, mereka itu lebih sukar didekatkan dengan Islam, istilah Tuhan yang lain-lain,” jelasnya.
Senada dengan Dr. Osman, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat lebih mengambil sikap optimis kerana berasaskan kewajaran Allah menggalakkan Rasulullah s.a.w berwacana dengan Ahli Kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani menggunakan ‘ kalimatin sawa’in ’ (suatu titik persamaan).
Firman Allah yang bermaksud, “Katakanlah: ‘Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), marilah (berpegang) dengan suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu…” (Surah Aali-Imran: 64)
Menurut Tuan Ibrahim, kalau penganut Gereja Katholik dibenarkan menggunakan kalimah ‘Allah’, mereka juga boleh jadi terkeliru sebagaimana yang disangkakan (iaitu rasa bimbang) oleh segelintir umat Islam.
“Hikmah Allah membenarkan (nama-Nya disebut oleh orang bukan Islam) sebenarnya nak kelirukan orang bukan bukan Islam supaya dekat dengan agama Islam.
“Zaman Nabi lagi, orang bukan Islam sembut nama Allah dan Nabi tak sekat mereka dari menggunakan nama Allah,” ujarnya.
“(Nabi bertanya kepada Ahli Kitab Nasrani), betulkah Allah itu ada anak? Siapa pula Rohulkuddus? Akhirnya mereka ini menyembah Allah yang Maha Esa disebabkan mereka keliru (dengan agama mereka) tapi nak sebut nama Allah.”
Tuntas dari itu, Naib Presiden PAS Salahuddin pula mencadangkan PR memulakan budaya ‘Wacana Ilmiah’ bersama-sama umat Islam dan masyarakat bukan Islam atas nama ‘kalimatin sawa’in’.
Berpijak atas ayat ke-64 dari Surah Aali-Imran, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, wacana ilmiah tersebut tidak seharusnya dibataskan hanya atas kalimah ‘Allah’ semata-mata.
Sebaliknya, ‘Kalimatin Sawa’in’ atau ‘suatu titik persamaan’ tersebut, menurut Salahuddin boleh juga dimaknakan dengan nilai-nilai sejagat yang lain seperti keadilan, integriti, kebebasan, ketelusan, demokrasi dan sebagainya.
Dalam benak saya, mungkin inilah yang dimaksudkan oleh beberapa cendekiawan kontemporari sebagai polisi ‘Islamisasi’.
Kalau benar tanggapan ini, bermakna PAS dilihat lebih mudah memenangi akal fikiran-budi masyarakat Islam dan bukan Islam yang serba plural, majmuk dan rencam ini; sebelum Pilihan raya Umum Ke-13 kelak bergendangan kelak.
Kalau yang menolak Islam ini adalah para pemimpin Umno, esok lusa mereka ini jugalah yang akan menolak idea faham Islam yang mahu diketengahkan PAS di Malaysia.
Lebih 50 tahun Umno menolak keadilan hak di sebalik undang-undang Allah di tanah air, tetapi baru hari ini rakyat tidak kira beragama Islam atau berpegangan yang lain diberi peluang mulai melihat pihak-pihak terbabit seolah-oleh sedang membantu Umno menghalang sekalian manusia dari menyebut nama Allah.
“Nas al-Quran adalah wahyu. Setiap ketetapan yang ‘membenarkan’ di dalam al-Quran ini sudah tentu tersembunyi di sebaliknya sesuatu maslahah (kebaikan) yang berlebihan, berbanding mafsadah (kemudhoratan) yang sedikit,” saya berbisik seorang diri.
Mungkin apa yang sedang menghimpit Umno inilah salah satu hikmahnya.
“Fiqar...kalau lebih banyak lagi berwacana sebegini, PAS dan Pakatan Rakyat mungkin lebih berani (dalam) membuat banyak lagi perubahan pemikiran di kalangan ahli-ahlinya sendiri, insya Allah,” bisik Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar kepada saya.
Sumber: Harakahdaily
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment