Wednesday, January 13, 2010

Permohonan qazaf: Pendakwa Diarah Jawab Afidavit Anwar


Nazri Abdullah, Foto: Shukri Mohamad
KUALA LUMPUR: 13 Jan: Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini menetapkan 17 Februari ini bagi sebutan semula permohonan qazaf (tuduhan palsu) Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas seorang pembantunya berhubung kes liwat yang dihadapinya.

Hakim Mohd Shukur Sabudin membuat keputusan itu setelah peguam mewakili pihak Memteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memohon masa untuk menfailkan bantahan awalan terhadap permohonan qazaf Anwar 7 Januari lalu.

Bantahan awal itu berhubung isu bidang kuasa mahkamah, aturcara prosedor dan juga pemfailan wakalah oleh Anwar.

Sehubungan itu mahkamah mengarah supaya pendakwa menfailkan permohonan bantahan awal itu dan menjawab afidavit permohonan Anwar sebelum 17 Februari ini.

Anwar bagaimana pun tidak hadir di mahkamah siang tadi kerana dilaporkan menghadiri satu persidangan di luar negara.

Anwar sebelum ini menyerahkan afidavit bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya mendakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana membuat tuduhan palsu.

Mohd Saiful mendakwa diliwat oleh mantan Timbalan Perdana Menteri itu di sebuah kondominiom di Bukit damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, 2008.

Dalam afidavit itu, Anwar juga memohon mahkamah mengarahkan responden kedua dan ketiga iaitu Pengarah Jawi dan Datuk Jamil Khir Baharom agar tidak menghalang atau mempengaruhi ketua pendakwa menjalankan tugas dan tanggongjawab.

Salah seorang peguam Anwar, Zulkifli Nordin ketika ditemui mempersoalkan tindakan Jamil Khir yang menyebut kes qazaf itu hendaklah menunggu selesai perbicaraan kes liwat yang dihadapinya (Anwar) di mahkamah sivil.

"Ini satu penghinaan kepada Mahkamah Syariah yang kita amalkan, kerana Mahkamah Persekutuan sendiri dalam beberapa kes telah menjelaskan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil punyai bidang kuasa yang setaraf dan tidak perlu menunggu arahan mana mana pihak," katanya.

Apatah lagi ujarnya mengikut amalan biasa kes di Mahkamah Sivil boleh memakan masa sehingga lapan tahun.

"Tidak sepatutnya Mahkamah Syariah dibelakangkan. Tindakan menteri dan pihak berkaitan jelas membelakangkan Mahkamah Syariah dan meletakkan Mahkamah Syariah balik ke mahkamah kelas kedua saperti tahun 1998 sebelum pindaan perlembagaan," katanya.

Harakahdaily

No comments:

Post a Comment