Saturday, January 16, 2010
Penulis Blog Banyak Mengumput
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi kritikannya terhadap sesetengah penulis blog yang disifatkan lebih banyak mengumpat daripada memberi ilmu kepada pembaca.
Katanya, rakyat perlu menapis sebarang maklumat tidak mendatangkan ilmu yang disalurkan penulis blog individu tertentu, sekali gus menimbulkan suasana yang tidak baik kepada masyarakat.
“Kita baca blog kerana nak ilmu. Tetapi kalau apa yang dituliskan itu banyak perkara berunsurkan provokasi dan fitnah, jadi apa ilmu yang kita dapat itu maknanya lebih kepada perbuatan mengumpat.
"Jika tulisannya itu dengan niat melaga-lagakan orang. Kalau molek (baik) tak apa,” katanya pada kuliah Jumaatnya di Dataran Ilmu di sini, semalam.
Terdahulu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan penulis blog yang melaga-lagakan pihak tertentu khususnya dalam politik Pas Kelantan sebagai ‘blogger celaka’.
Reaksi itu timbul apabila terdapat blog yang menyatakan Exco Kanan Pas, Datuk Husam Musa akan meletakkan jawatan susulan krisis yang melanda kepimpinan Pas negeri baru-baru ini.
Bagi tujuan itu, Nik Aziz mempertahankan Husam yang disifatkan membawa kebaikan kepada Kelantan dan negara ini.
Pada masa yang sama, krisis pentadbiran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang melibatkan menantu Nik Abdul Aziz, Abdul Ariffahmi Abd Rahman sehingga disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) adalah juga tercetus dari tulisan blog.
Dalam perkembangan lain, Nik Aziz turut mencadangkan pembuat kuih tradisional di negeri itu mengambil langkah proaktif menukar nama-nama kuih tradisional yang tidak manis didengar, seperti kuih ‘tahi itik’.
“Jika nama kuih ‘puteri mandi’, ‘jala emas’ boleh dinamakan maka tidak ada sebab kuih ‘tahi itik’ juga ditukar kepada nama yang lebih sesuai,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment