Kenyataan Media (6 Januari 2010)
Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS (RM UTP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Unit Sokongan Kolej Kediaman (RCSU) akan melancarkan satu misi bantuan kemanusiaan ke Padang, Indonesia pada 16 Januari 2010 hingga 19 Januari 2010.
Misi kemanusiaan yang julung-julung kalinya diadakan di sebuah lokasi bencana yang besar ini bertujuan untuk menyambung usaha menyampaikan bantuan berbentuk kewangan, barangan keperluan harian, pakaian, pembinaan sarana masyarakat dan pembangunan moral kepada mangsa bencana gempa bumi yang berlaku di Padang, Indonesia pada 31 September dan 1 Oktober 2009 yang lepas.
Sepanjang 4 hari perjalanan misi sulung, anggota delegasi UTP akan bergabung dengan agensi serta badan-badan sukarela di Indonesia dalam operasi membantu mangsa bencana yang masih belum terjangkau seluruhnya sebelum ini. Anggota misi ini juga dijadualkan untuk menyertai kerja-kerja pembinaan semula infrastruktur yang telah musnah teruk terutamanya rumah kediaman. Pada fasa ini, anggota misi juga akan ikut mengenalpasti bahawa di antara bantuan penting sebagai susulan kepada bantuan sebelum ini adalah pembinaan rumah-rumah asas kepada para penduduk yang daif untuk membolehkan mereka meneruskan semula kehidupan seharian mereka.
Program ini juga dilihat menjadi satu wadah yang membuka peluang kepada mahasiswa untuk merasai pengalaman secara langsung di lapangan sebenar sebuah bencana besar seperti di Padang. Pengalaman serta maklumat yang diperolehi tersebut dapat dikongsi bersama dengan rakan-rakan di kampus untuk menarik minat lebih ramai mahasiswa dalam usaha bantuan kemanusiaan yang lain di masa akan datang. Ini juga dapat memupuk dan menanamkan cakna dan prihatin di kalangan mahasiswa terhadap isu-isu kritikal kemanusiaan.
Misi ini juga bercadang untuk mengenalpasti lokasi strategik membina kemudahan pendidikan seperti pusat sumber maklumat yang dilengkapi dengan pelbagai bahan rujukan serta kemudahan teknologi terkini seperti komputer dan internet yang memberi peluang kepada kita melibatkan diri dalam pembangunan jangka panjang demi memastikan bantuan daripada Malaysia akan berterusan di masa akan datang.
Kami juga ingin menyampaikan penghargaan serta jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyalurkan bantuan dalam menjayakan misi kali ini. Semoga dengan sumbangan dan bantuan daripada orang ramai dapat meringankan beban saudara kita di Padang, Indonesia dan menjadi sadaqah jariah serta amal soleh para dermawan semuanya.
Muhammad Akram Bin Ismail
Pengarah Misi Bantuan Kemanusiaan UTP ke Padang, Indonesia
Merangkap Presiden,
Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS.
http://misiutp.blogspot.com
013-4719183
No comments:
Post a Comment