Wednesday, April 21, 2010

BN sebenarnya nodai perintah perintah tetap DUN


OLEH: MISBAHUL MUNIR MASDUKI

Kita tidak mempersoalkan kenyataan Tuanku dalam Titah Ucapannya di Hari Keputeraan yang begitu dukacita terhadap kekecohan yang berlaku dalam sidang DUN Perak pada 30 Mac yang lalu. Kita percaya Tuanku tidak diberi penerangan yang jelas berhubung sebab kekecohan yang berlaku, Tuanku hanya mendengar penjelasan dari sebelah pihak sahaja,peluang untuk Pakatan Rakyat menjelaskan pada Tuanku tidak ada. Akibatnya Tuanku membuat kenyataan berdasarkan maklumat sebelah pihak sahaja. Walau bagaimanapun kita wajar menghormati hak Tuanku untuk bertitah demikian di atas laporan yang Tuanku terima. Kita sebagai rakyat Perak tetap menghormati institusi Raja Berperlembagaan di negara ini, dan meletakkan harapan yang tinggi terhadap intitusi Raja sebagai payung keadilan kepada semua rakyat.

Sebenarnya insiden Sidang DUN Perak pada persidangan yang lalu berpunca apabila Perintah-perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan tidak dipatuhi oleh BN. Insiden ini bukan sahaja berlaku pada persidangan kali ini, malahan sidang-sidang yang lepas juga berlaku pencabulan terhadap Perintah-perintah Tetap Dewan. Ia bermula sejak sidang 7 Mei 2009 yang lalu, ketika itu YB Sivakumar adalah Speaker yang sah, sidang 7 Mei belum dimulakan, Titah Perasmian oleh Tuanku belum dimulakan, tiba-tiba berlaku rampasan Speaker melalui campurtangan pihak polis yang mengheret Speaker dengan cara yang kasar, biadab dan mengurung Speaker dalam stor. Ganesan terus dilantik sebagai Speaker dengan tatacara pemilihan yang tidak mengikut peraturan yang betul mengikut Perintah-perintah Tetap Dewan.

Sidang baru-baru ini juga berlaku pelanggaran Aturan Mesyuarat yang dilakukan oleh Speaker BN. Adun-adun Pakatan Rakyat seawal pagi sidang bermula pada hari kedua cuba membangkitkan beberapa perkara yang dianggap tidak mematuhi Perintah-perintah Tetap mengenai perlantikan Speaker itu sendiri, Speaker Ganesan tidak mengendahkan dan menghormati hak Adun untuk bersuara, pembesar suara pula dimatikan, insiden ini berlarutan sehinggalah apabila Ganesan memendekkkan masa soal jawab lisan dan mendahulukan pembentangan rang undang-undang daripada perbahasan Titan Ucapan Tuanku. Agenda ini dilihat oleh Adun PR sebagai tidak menghormati dan membelakangi Tuanku, ia sama sekali bercanggah dengan Aturan Mesyuarat. Boleh rujuk tulisan saya yang lalu di http://misabah.blogspot.com/2010/04/keanehan-dan-pelanggaran-peraturan.html

Dewan Undangan Negeri Perak sejak setahun yang lalu sehingga sekarang telah lumpuh semangatnya. DUN Perak sebagai simbol demokrasi dan simbol kedaulatan rakyat telah dicemari oleh UMNO BN. Ia tidak lagi berfungsi sebagai satu institusi yang terhormat, hak Adun-adun Pakatan Rakyat dinafikan oleh Speaker Ganesan yang dilantik secara haram. Pakatan Rakyat tidak menafikan bahawa pada sidang yang lalu berlaku kekecohan, beberapa Adun Pakatan Rakyat terpaksa menggunakan poster bagi menyuarakan ketidak puashatian mereka apabila hak mereka dirampas,sepanjang sidang berjalan pemebesar suara di setiap meja Adun PR dimatikan.

Kekecohan samada dalam sidang DUN atau Parlimen sering berlaku, malahan di Parlimen pertikaman lidah, keluar dewan, jerit menjerit, tuduh menuduh dan sebagainya sering berlaku. Lihat sahaja aksi Ahli Parlimen Pasir Salak yang sering menganggu ucapan-ucapan Ahli Parlimen Pembangkang dengan ungkapan dan tuduhan yang jahat, bila ada peluang bercakap, ucapannya langsung tidak berkualiti melainkan tuduhan-tuduhan liar ke atas kerajaan PR Perak, apabila dicabar supaya mengulangi ucapan tersebut di luar parlimen tidak pula ia berani berbuat demikian.

Sepatutnya titah ucapan seumpama ini juga wajar ditujukan kepada Adun-adun BN yang jelas dan terang melanggar aturan-aturan perjalanan mesyuarat terutama dalam fasal perlantikan Speaker. Pakatan Rakyat telah membuat kenyataan sebelum ini berhubung dengan perlantikan Zambry sebagai MB Perak oleh Mahkamah Federal. Pakatan Rakyat menghormati keputusan Mahkamah dan bersedia bekerjasama dengan BN dalam memajukan negeri Perak dengan beberapa syarat yang cukup mudah untuk dilaksnakakan oleh BN, tetapi BN menolak syarat tersebut. Pakatan Rakyat juga menawarkan supaya diadakan perbincangan antara pihak MB & Speaker dengan pihak adun PR supaya perjalanan sidang dewan berjalan dengan lancar, juga tawaran ini ditolak oleh Zambry dengan angkuh dan sombong.

Jadi sangat tidak adil apabila insiden yang berlaku dalam sidang dewan yang lalu berpunca dari Adun PR. Punca besarnya adalah apabila Perintah-perintah Tetap Dewan itu sendiri dilanggar oleh Speaker Ganesan dan Adun-adun BN.

No comments:

Post a Comment