Saturday, February 13, 2010

Zambry Wajar Terima Syarat PR


IPOH: Setiausaha PAS Perak, Misbahul Munir Masduki menegaskan syarat yang Pakatan Rakyat tawarkan kepada kerajaan BN Perak adalah wajar dan berpatutan, Ini kerana Dato' Seri Zambry Abdul Kadir yang menghulurkan tangan mengajak PR bekerjasama membangunkan rakyat negeri Perak.

"Pakatan Rakyat Perak menyambut tawaran tersebut dengan syarat Zambry dan UMNO BN Perak mesti tunjukkan keikhlasan, tawaran datang dari UMNO, jadi yang menawarkan mesti buktikan keikhlasan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas syarat yang dikenakan oleh Pakatan Rakyat Perak kepada Zambry dan Kerajaan Bn Perak ysang dianggap tidak wajar oleh pimpinan Umno/BN termasuk Zambry.

Kerajaan BN Perak yang dipimpin oleh Zambry tidak wajar menolak tuntutan tersebut, lagipun penyokong PR jauh lebih besar dari penyokong BN, walaupun kerajaan BN berjaya merampas kuasa melalui mahkamah, tetapi sokongan rakyat Perak tetap majoritinya pada PR.

PR hanya hilang tiga suara di Dewan Undangan Negeri, tetapi tidak hilang sokongan rakyat, kerana itu UMNO/BN wajib menghormati 54 peratus suara rakyat yang menyokong PR dalam pilihanraya 2008 yang lalu, tegasnya.

Katanya lagi, PR juga menuntut supaya ADUN dan Ahli Parlimen PR dilantik sebagai Jawatankuasa Tindakan Daerah, melalui perlantikan ini, mereka boleh hadir mesyuarat setiap bulan bersama pegawai kerajaan yang lain, pandangan dan juga teguran boleh terus disampaikan melalui mesyuarat.

"Inilah peluang Adun dan Ahli Parlimen PR dan BN serta pegawai kerajaan berbincang dan bertukar-tukar fikiran dalam memajukan pembangunan di peringkat daerah," jelasnya.

Ianya tidak pula melibatkan peruntukan kewangan, menjadi Jawatankuasa Tindakan Daerah tidak perlukan elaun, bahkan kehadiran dalam mesyuarat juga tidak perlu tuntutan perjalanan, tambah beliau.

Selama setahun PR memerintah Perak, itulah amalan yang dilakukan. Premis kerajaan dibenarkan digunakan oleh semua parti dan Adun kerajaan dan pembangkang, Kerajaan PR tidak pernah menghalang penggunaan dewan tersebut oleh UMNO/ BN.

Manakala semua Adun dan Ahli Parlimen BN dilantik sebagai Jawatankuasa Tindakan Daerah, cuma sayangnya mereka tidak hadir dalam mesyuarat yang diadakan sebulan sekali itu, katanya.

PR telah menunjukkan keikhlasan untuk bekerjasma, Zambry pula hendaklah menunjukkan keikhlasan dengan memenuhi syarat yang tidak susah untuk dilaksanakan demi kepentingan rakyat yang 54 peratus telah memilih PR sebagai kerajaan dalam pilihanraya 2008, jelasnya.

"Zambry kena ingat, Dato' Seri Nizar dan PR masih disayangi oleh rakyat Perak, keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyebelahi Zambry sedikit pun tidak menghakis kepercayaan dan sokongan rakyat kepada kepimpinan PR negeri Perak, kerana itu hormatilah rakyat Perak, kalau PR Perak boleh akur dan menghormati keputusan Mahkamah, tidak ada sebab Zambry dan UMNO/ BN tidak boleh menghormati sokongan 54 peratus rakyat yang telah menolak UMNO BN dalam pilihanraya yang lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment