Saturday, January 16, 2010

PAS Lapor Polis Dakwa ADUN Sungai Rapat

SHAH ALAM - Seramai 10 ahli dan Ahli Jawatankuasa Pas Shah Alam membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat di Perak, Datuk Hamidah Osman berkaitan kenyataan dalam laman blognya yang didakwa menghina Pas. 

Mereka dilihat memasuki pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, pada jam 10 pagi, semalam, sebelum keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Ahli Jawatankuasa Pas Shah Alam, Mohamad Jamil Abdul Rahim berkata, dia menyedari perkara itu Rabu lalu, selepas membaca artikel bertajuk ‘umat Islam perlu bersatu’ bertarikh 2 Januari lalu, tersiar dalam laman blog ADUN terbabit.

Menurutnya, bersama artikel terbabit dipaparkan gambar Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memakai pakaian kebesaran Kristian.

“Kita melihat perkara ini sebagai satu perbuatan menghina terhadap Pas iaitu pertubuhan berdaftar yang mendukung dasar al-Quran, Sunnah, Ijmak serta mendaulatkan Islam.

“Tindakan mereka melakarkan logo Pas pada pakaian kebesaran Kristian termasuk meletakkan muka khalid sebagai pemakainya, boleh menjatuhkan maruah serta moral seluruh pemimpin, ahli, pendukung dan penyokong Pas seluruh negara, walaupun ia dibuat dengan menggunakan :super-imposed,” katanya.

Mohamad Jamil berkata, tujuan penyiaran artikel itu juga dilihat lebih kepada kepentingan survival politik kerana beliau (Hamidah) sanggup memutarbelitkan isu kalimah Allah sehingga mewujudkan suasana tidak tenteram antara penganut agama di Malaysia.

“Beliau sebenarnya celaru antara seruan ‘umat Islam’ perlu bersatu tetapi perbuatannya menghancurkan persaudaraan Islam,” katanya.

Justeru, beliau berkata, laporan polis dibuat olehnya semalam adalah untuk memberi peringatan kepada ADUN terbabit agar menghentikan segera segala perbuatan itu dan memohon maaf kepada seluruh pemimpin, ahli termasuk penyokong Pas.

Katanya, polis juga diminta untuk menjalankan siasatan segera berhubung motif penulis termasuk tujuan penyiaran artikel terbabit.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian pada laman blog ADUN Sungai Rapat itu, mendapati artikel yang didakwa mereka (Pas) benar-benar wujud dan dipaparkan bersama gambar Ahli Parlimen Shah Alam itu memakai pakaian kebesaran agama Kristian yang turut dilakar logo Pas.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment