Friday, January 15, 2010

Rakyat Ditinggalkan Dalam Krisis Tanpa PM & TPM

Abdul Aziz Mustafa  
KUALA LUMPUR, 15 Jan: Kerajaan ternyata tidak serius dalam menangani keadaan membimbangkan yang melanda negara ini, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Sikap tersebut, katanya, terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan rakyat dan negara dan berada di luar negara di waktu negara menghadapi krisis.

"Saya tahu pemergian mereka adalah juga tugas untuk negara. Tetapi bagi saya tidak wajar berlaku kedua-dua pemimpin utama tiada dalam negara sama ada negara dalam keadaan tenang atau tegang.

"Ini menunjukkan tiada penyelarasan dan kesepakatan serta ketidaksehaluan antara kedua-dua pemimpin utama," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan perkara tersebut membuktikan bahawa dakwaan kerajaan kononnya rakyat didahulukan tidak diterjemahkan dan direalisasikan sebaliknya rakyat ditinggalkan dalam keadaan yang boleh mencetuskan pergaduhan akibat "provokasi yang dipenuhi dengan kebusukkan politik".

"Negara sedang menghadapi ancaman pergaduhan kaum dan agama. Apa yang membimbangkan rakyat ialah kerajaan seperti hilang kawalan.

"Setiap kali jaminan kerajaan, iaitu Menteri Dalam Negeri, dan polis bahawa keadaan terkawal, setiap itu jugalah ada kejadian baru seperti pencerobohan terhadap pejabat peguam majalah Herald dan simbahan cat berwarna merah ke sebuah gereja di Kota Tinggi yang berlaku semalam," katanya.

Mahfuz menyifatkan kejadian simbahan cat merah di gereja Kota Tinggi dan pencerobohan pejabat peguam majalah Herald menunjukkan keadaan negara dalam bahaya.

"Malang sekali bagi rakyat Malaysia apabila kerajaan seperti tiada langkah yang berkesan dan konkrit bagi mengatasi masaalah perhubungan antara kaum dan agama, sedangkan selama ini kerajaan sering melaungkan kononnya negara-negara luar begitu kagum melihat formula Malaysia dalam mengurus rakyat pelbagai kaum dan agama.

"Ternyata peristiwa mutakhir ini menunjukkan kerajaan tiada suatu formula dan plan induk yang jelas untuk melahirkan masyarakat yang saling hormat menghormati dan saling memahami antara kaum dan agama," katanya.

Perdana Menteri semalam memulakan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi manakala Timbalan Perdana Menteri pula melawat United Kingdom sejak 10 Januari lalu.

Bagi Mahfuz, walaupun tempoh kedua-duanya tidak berada dalam negara adalah singkat, ia tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan negara menghadapi krisis.

 Harakahdaily

No comments:

Post a Comment