Sunday, January 3, 2010

'Selamatkan Sek. Izzudin Shah dan Raja Perempuan Taayah: Jangan Sekadar `Hangat Hangat Tahi Ayam'

Selepas Himpunan bekas-bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah (SIS) dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) mendesak agar usaha untuk menukar milik pengurusan sekolah daripada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dan Kerajaan Negeri Perak kepada Kerajaan Pusat di bawah skim Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dihentikan serta-merta, tiada lagi suara yang mendesak agar kedua kedua sekolah itu tidak `dipindahkan' ke Pusat.

Sebelum itu Dewan Pemuda PAS Perak juga melakukan perkara yang sama, melahirkan kebimbangan kedua dua sekolah menengah aliran agama itu akan diserahkan kepada Kerajaan Pusat oleh Kerajaan BN dibawah pimpinan Dato' Seri Zambry Kadir.

Tetapi suara suara yang mahu Sekolah Izzudin Shah dan Sekolah Perempuan Taayah kekal dibawah JAIP dan Kerajaan Negeri sudah seakan akan hilang sedangkan desakan demi desakan perlu diberikan kepada Kerajaan Umno/Bn yang menguasai negeri ini sekarang ini.
 
Mana perginya NGO Islam seperti ABIM, JIM ataupun JAMAIEY mahupun PAS sendiri, tidakkah mereka merasa terpanggil untuk turut mendesak agar sekolah sekolah tersebut kekal dibawah JAIP dan Kerajaan Negeri. Kita mahu seluruh NGO  Islam di negeri ini bersatu hati dan bersama mendesak Kerajaan Negeri mempertahankan kedua  sekolah tersebut.

Seperti yang dibimbangi oleh Badan Bertindak Pertahan Sekolah Menengah Izzudin dan Sekolah Raja Perempuan Taayah (TAHAN) yang memandang serius impak negatif dan kesan buruk yang akan terjadi akibat pemindahan pengurusan sekolah ini dan bertegas untuk mempertahankan sekolah warisan dan kebanggaan rakyat Perak ini daripada dicerobohi oleh sebarang gangguan luar. 

Kesan buruk yang akan terjadi ialah identiti utama Sekolah Izzudin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah sebagai satu-satunya sekolah milik kerajaan Negeri Perak yang menjalankan pengajian I'dadi dan Thanawi akan hilang.Itu yang dibimbangi Himpunan Bekas Bekas Pelajar Sekolah Izzudin Shah dan Sekolah Perempuan Taayah.

Pihak TAHAN amat khuatir pengurusan baru oleh Kerajaan Perseketuan akan melaksanakan pekeliling pendidikan yang mewajibkan jumlah kredit pengajian subjek yang diajar di SIS dan SERATA sama seperti sekolah harian yang lain. Ini secara jelasnya akan menyebabkan bilangan jam untuk pengajian I'dadi dan Thanawi akan berkurang dan akhirnya terhapus langsung.

Menurut TAHAN perancangan halus untuk menghapuskan pengajian I'dadi dan Thanawi ini dapat dikesan sebagai satu usaha untuk merendahkan kadar kemasukan dan kelayakan pelajar-pelajar aliran agama ke pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), akhirnya menyebabkan graduan yang memiliki kepakaran dalam lulusan agama akan berkurangan dan menyebabkan pengajian agama terpinggir di negara ini. 

Penukaran ini juga akan menyebabkan rakyat Negeri Perak akan kehilangan warisan kebanggaan negeri ini . Sejak ditubuhkan, SIS dan SERATA secara konsisten telah menerima dan melahirkan pelajar-pelajar anak kelahiran Perak yang berjaya dalam segala bidang.

"Kami memohon semua bekas-bekas pelajar SIS dan SERATA, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik untuk bersatu mempertahankan SIS dan SERATA tanpa menjadikan isu ini sebagai agenda politik," tegas Pengerusi TAHAN Yuzi Faisal Buyung Basri.

Luahan hati TAHAN yang mahu NGO  turut sama bersatu mempertahankan SIS dan SERATA nampaknya saperti tidak dipedulikan ataupun tidak mendapat reaksi. Amat wajar masyarakat Islam, NGO  mahukan parti politik bersama sama seiring mendesak SIS dan SERATA kekal di bawah pentadbiran JAIP. Rakyat negeri ini terutama masyarakat Islam tidak yakin Kerajaan BN Perak akan mempertahankan sekolah ini. Oleh kerana sebelum kejatuhan Umno/BN tahun 2008, sudah ada suara suara untuk menyerahkan kedua dua sekolah itu dipindahkan ke Kerajaan Pusat.

Badan-badan NGO khususnya NGO Islam diseluruh negeri amat amat wajar mengikut langkah yang dilakukan TAHAN untuk memohon agar Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Perak mengambil tindakan pantas untuk menyelamatkan nasib SIS dan SERATA.

Pihak TAHAN sanggup bertindak melancarkan kempen mengutip tanda tangan dari bekas-bekas pelajar dan orang ramai sebagai tanda protes pemindahan pentadbiran sekolah ini serahan tandatangan akan diberikan kepada Raja Dr Nazrin beserta memorandum, kenapa NGO  Islam ataupun parti parti politik seperti PAS tidak mengikut jejak langkah yang diambil oleh TAHAN?Sekiranya NGO NGO dan PAS boleh berbuat demikian, alangkah indahnya bantahan itu kerana ianya bersifat lebih menyeluruh.Umno tidak boleh diharapkan untuk menyelamatkan kedua dua sekolah ini. Ini terbukti ketika Umno/BN memerintah Perak dahulu bantuan per kapita telah ditarik balik terhadap Sekolah Agama Rakyat. Apakah kita masih mengharapkan Umno untuk membela Sekolah Agama Rakyat dan kedua kedua sekolah tersebut yang bakal berpindah ke Kerajaan Pusat.

PAS Perak, NGO Islam di seluruh negeri ini perlu bertindak untuk sama-sama mempertahankan SIS dan SERATA. Kita tidak mahu bantahan kepada Kerajaan BN Perak untuk mengekalkan SIS dan SERATA kekal di bawah pengurusan JAIP dan Kerajaan Negeri tidak hanya sekadar `hangat hangat tahi ayam' sahaja.

1 comment:

  1. Salam sahabat.

    Ana ucapkan syukran mengikut blog ana. Mohon linkkan blog ana kat blog enta. Blog enta ana dah linkkan. Dalam Lajnah pengguna ada dah linkkan juga. Ana admin untuk blog lajnah membantu Rahim. Jika ada sebarang n3 untuk Lajnah enta boleh membuat article dan emailkan kepada ayid1202@gmail.com. Agar dapat di postingkan. Email enta akan di credit terdapat n3 tsb. Syukran

    ReplyDelete