Saturday, January 16, 2010

Pemuda PAS Sokong Penuh Titah Raja Muda Perak


IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menyokong penuh titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah semasa Persidangan Ke-169 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) agar rakyat perlu bijaksana mengenalpasti dan meningkatkan asas perpaduan serta memahami implikasi negatif yang boleh tercetus akibat menimbulkan perkara yang mendatangkan ketidakselesaan dan bersifat kontroversi.

Demikian dinyatakan oleh Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Nur Amin dalam kenyataan medianya di sini semalam.

Menurutnya Islam tidak mendidik umatnya melakukan perkara yang bertentangan dengan naluri dan perkara yang ditegah oleh agama, bahkan Islam telah menuntut seluruh umatnya supaya menghormati agama lain.

"Islam juga telah menetapkan dakwah sebagai cara berhubung dengan agama lain sebagai satu makenisma terbaik sepertimana yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran," jelasnya

Pemuda PAS Negeri merasakan titah Raja Dr Nazrin Shah sebagai satu bentuk peringatan dari Ketua Agama Islam Negeri supaya semua pihak jangan sekali-kali melakukan tindakan di luar batasan norma ajaran agama.

"Islam yang pada dasarnya sangat mengutamakan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum, perlu di ingatkan bahawa Islam adalah cara hidup yang sempurna anugerah Allah sebagai satu rahmat kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan kaum," katanya.

Oleh itu Pemuda PAS Negeri menyarankan tokoh-tokoh agama agar mengurangkan serangan dan ketegangan tetapi memperkasakan majlis dialog penerangan sepertimana yang telah disaran oleh Agama Islam bagi memastikan umat Islam dan bukan beragama Islam akan dapat memahami dengan jelas kebenaran dan keadilan Islam dalam menangani permasalahan semasa.

No comments:

Post a Comment