Tuesday, March 9, 2010

Adakah MAIPK benarkan Umno guna masjid?


IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) tertanya-tanya adakah UMNO telah diberikan kebenaran untuk menggunakan masjid sempena program UMNO Juara Rakyat peringkat Negeri Perak pada 6 Mac hingga 7 Mac yang telah diadakan di Tanjung Malim yang lalu telah mendapat kebenaran atau kelulusan daripada Majlis Agama Islam & Adat Melayu Negeri Perak (MAIPk)?

Ini kerana UMNO jelas menggunakan pentas politiknya di masjid yang di bawah kawalan MAIPk yang tidak sepatutnya berlaku sedangkan masjid masjid sepatutnya bebas daripada pengaruh politik kepartian.

"Adakah Kerajaan Negeri di bawah UMNO sudah membenarkan parti politik untuk menggunakan Institusi Masjid sepertimana yang telah digunakan oleh UMNO di dalam programnya di Masjid Sultan Idris Shah (SIS) 11, Slim River dan Masjid Jamek, Kuala Slim?".

Demikian ditegaskan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Salman Saleh dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Pemuda PAS Perak mahu MAIPk menjawab persoalan ini kerana perkara tersebut telah dilarang semasa pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) dahulu. tetapi kenapa ini semua dibolehkan bila Kerajaan BN berkuasa swmula.

"Rakyat cukup terkejut jika sekarang ini UMNO sudah boleh menggunakan institusi masjid bagi kegiatan politiknya," jelasnya.

Menurut beliau jika Umno sudah boleh menggunakan masjid sepatutnya semua parti dibenarkan menggunakan masjid dan bukan UMNO sahaja dibenarkan menggunakannya.

"Kita sedang menunggu jawapan rasmi MAIPk di dalam isu ini, bukan tujuan ingin menunding jari tetapi ingin mencari keadilan," katanya.

Rakyat dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid sudah tentu inginkan satu jawapan yang tegas di dalam perkara ini, kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment