Wednesday, March 10, 2010

Foram isu Kerajaan Perpaduan: Harussani diminta tetapkan tarikh


IPOH: Satu majlis Foram Isu Kerajaan Perpaduan yang dibangkitkan oleh Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria sebelum ini akan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Perak. Foram tersebut akan menyediakan satu pentas dengan mengadakan forum berkaitan perkara yang dibangkitkan oleh Harussani mengenai isu menubuhkan kerajaan perpaduan di Perak.

"Foram ini juga akan menghadirkan semua yang terlibat tersebut di atas satu pentas demi mencari kebenaran".

Demikian dinyatakan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Salman Salleh dalam kenyataan medianya di sini hari ini.

Menurutnya, Pemuda PAS Perak akan menurunkan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Negeri Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Haji Ahmad Awang, iaitu mereka yang telah terlibat secara langsung sebagaimana yang didakwa oleh Harussani.

Sehubungan dengan itu Pemuda PAS Perak meminta Harussani menetapkan tarikh, tempat dan masa bagi menjayakan forum tersebut.

"Bagi bersikap adil, Harussani boleh menjemput seorang lagi panel daripada UMNO untuk bersamanya di dalam forum tersebut," ujar beliau.

Beliau berharap berharap forum tersebut akan memperjelaskan dan juga membetulkan fakta yang sebenar demi mencari kebenaran dalam masa yang sama Pemuda PAS Perak berharap Harussani akan menerima pentas forum ini untuk menjelaskan sepertimana yang didakwanya.

"Kita akan menunggu Harussani menetapkan tarikhnya kelak secepat mungkin," katanya.

Pemuda PAS Perak juga akan cuba merealisasikan kehadiran Datuk Nik Abdul Aziz dan Ustaz Ahmad bagi menggunakan ruang pentas forum tersebut demi membetulkan fakta yang sebenar.

No comments:

Post a Comment