Tuesday, March 2, 2010

KONSERT MEGA HIBURAN ALTERNATIF BUAT RAKYAT


IPOH: Lajnah Kebudayaan PAS Perak akan menganjurkan Konsert Mega pada 5 Mac ini bertempat di Dewan Peraatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Ipoh, ianya merupakan alternatif kepada masyarakat yang dahagakan hiburan yang sopan dan bertemakan kerohanian.

Ia sudah tentu berbeza dengan konsert-konsert yang dianjurkan pihak lain yang selalunya menampilkan artis-artis yang pakaiannya kurang sopan, telatah para peminat yang menjerit dan terkinjai-kinjai mengikut rentak lagu dan muzik yang dimainkan dan ia lebih kepada hiburan yang melalaikan dari mengingati Allah swt.

Demikian dinyatakan Setiausaha PAS Perak, Misbahul Munir Masduki dalam kenyataan medianya di sini semalam.

Menurutnya konsert yang dianjurkan juga bertemakan Junjungan Kasih Rasulullah saw. sempena sambutan bulan Maulidur Rasul saw., ini sudah tentu lagu-lagu yang dipilih nanti juga bertemakan kerasulan saw.

Beberapa artis dan kumpulan nasyid akan menghiburkan orang ramai. Tiket yang dijual untuk tujuan derma juga tidak mahal, hanya RM 6 sahaja.

Selain nasyid, orang ramai juga akan diperdengarkan deklamasi sajak oleh penyajak terkenal di Perak iaitu Pak Saleh Bakar.

Beliau berharap dengan penganjuran konsert ini pendekatan PAS kepada masyarakat semakin meluas dan medan dakwah bukan sahaja melalui kuliah dan ceramah sahaja.

"Hiburan yang berunsurkan Islam juga boleh mendekatkan masyarakat dengan Islam, jelasnya.

No comments:

Post a Comment